KUALA LUMPUR: Bekas pengurus kewangan di sebuah syarikat penghantaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM3.8 juta berhubung bayaran duti kastam, 10 tahun lepas.

Marzulhisham Zulkifli, 36, yang sebelum ini bekerja di syarikat Pelangi Shipping Sdn Bhd, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nordin Nasir.

Marzulhisham didakwa mengemukakan tiga tuntutan palsu berjumlah RM3,093,787.06 terhadap Eksekutif Logistik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Al-Mohafan Mohamed di Tingkat 4, Bahagian Penjanaan TNB, 129 Jalan Bangsar antara 19 Jan hingga 30 Julai 2004.

Tertuduh, yang kini seorang peniaga, didakwa membuat tuntutan itu melalui tiga invois yang mengandungi butiran matan palsu membabitkan tuntutan bayaran duti kastam, sedangkan bayaran duti kastam itu dikecualikan.

Bapa tiga anak itu juga didakwa mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM728,302.68 terhadap Al-Mohafan dalam satu invois untuk tujuan sama, sedangkan bayaran duti kastam itu hanyalah berjumlah RM63,440.99.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 2:53 PM