AFP

Brussels: Britain berhutang dua bilion euro (RM9.4 bilion) kepada Kesatuan Eropah (EU) selepas dituduh tidak mengendahkan penipuan besar-besaran pengimport dari China, kata pejabat fraud blok itu, semalam.

“Kami mencadangkan Suruhanjaya Eropah mendapatkan semula wang itu dari United Kingdom (UK),” kata pejabat antifraud EU, OLAF, dalam satu e-mel kepada AFP.

OLAF menuduh Britain tidak mengendahkan penggunaan berleluasa invois dan tuntutan kastam palsu oleh pengimport China yang mengakibatkan kerugian berjumlah 1.99 bilion euro (RM9.3 bilion) dalam kutipan duti kastam untuk EU.

Dakwaan OLAF itu timbul pada masa sensitif dalam hubungan antara EU dengan Britain, hanya beberapa hari sebelum London memulakan rundingan untuk Brexit - proses keluar daripada blok berkenaan.

Siasatan OLAF menunjukkan antara 2013 hingga 2016, ada pihak mengelak duti kastam dengan menggunakan invois serta pengisytiharan kastam palsu untuk import ke UK.

“Negara anggota lain berusaha keras menghapuskan amalan itu, sebaliknya di Britain ia dilihat semakin menjadi-jadi,” kata OLAF.

Menurutnya, ia turut mengakibatkan kerugian 3.2 bilion euro (RM15 bilion) untuk negara anggota lain seperti Perancis, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 7:49 AM