Oleh Fakhrurrazi Usuldin


Putrajaya: Lima Universiti Awam (UA) dipilih untuk melaksanakan sistem dikenali sebagai Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (ICGPA) bermula September ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, UA berkenaan ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Sebagai permulaan, hanya satu fakulti daripada setiap universiti terpilih akan mula menggunakan sistem ICGPA ini membabitkan kira-kira 300 penuntut baru pada sesi semester bermula September ini.

"ICGPA ini membabitkan penilaian kecemerlangan akademik, sahsiah, kokurikulum selain sosial," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra Aidilfitri di perkarangan Kementerian Pengajian Tinggi di sini.

Idris berkata, keputusan dari sistem ICGPA dapat membantu majikan mendapatkan maklumat yang menyeluruh berkaitan akademik, kokurikulum dan nilai diri penuntut berkenaan sebaik tamat pengajian kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 4:21 PM