Oleh Fakhrurrazi Usuldin

Putrajaya: Lima Universiti Awam (UA) dipilih untuk melaksanakan sistem dikenali sebagai Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) bermula September depan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, UA itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Sebagai permulaan, hanya satu fakulti dari setiap universiti terpilih saja yang mula menggunakan sistem iCGPA mulai sesi semester September ini.

“Ia membabitkan 300 penuntut baru,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra Aidilfitri di pekarangan Kementerian Pengajian Tinggi, semalam.

Idris berkata, iCGPA ini membabitkan penilaian kecemerlangan akademik, sahsiah, kokurikulum dan sosial penuntut.

“Keputusan daripada sistem ICGPA dapat membantu majikan mendapatkan maklumat menyeluruh berkaitan akademik, kokurikulum dan nilai diri penuntut berkenaan sebaik menamatkan pengajian kelak.

“Ia juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)-PPPM (PT) 2015-2025 yang mahu melahirkan graduan bersifat holistik, berkemahiran serta mempunyai nilai diri tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik Kementerian Pengajian Tinggi Prof Madya Jaafar Jantan berkata, terdapat sembilan karakter yang ditetapkan dalam sistem iCGPA itu.

“Antaranya kefahaman pengetahuan, kemahiran akademik, pemikiran kritikal dan sistematik, kemahiran komunikasi, kemahiran bersosial dan kerja berkumpulan, etika dan moral, pengurusan, keusahawanan dan kepemimpinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 9:09 AM