KETIGA-TIGA master membuat aksi taici sebelum mengajar taici.
KETIGA-TIGA master membuat aksi taici sebelum mengajar taici.
MASTER Li Tianjin beradu tenaga kekuatan bersama tiga pengamal media tempatan.
MASTER Li Tianjin beradu tenaga kekuatan bersama tiga pengamal media tempatan.
MASTER Li Junjie mengajar cara melakukan taici kepada pengamal media yang hadir.
MASTER Li Junjie mengajar cara melakukan taici kepada pengamal media yang hadir.
MASTER Li Junjie menunjukkan cara pergerakan taici kepada pengamal media.
MASTER Li Junjie menunjukkan cara pergerakan taici kepada pengamal media.
ANTARA demonstrasi yang ditunjukkan.
ANTARA demonstrasi yang ditunjukkan.

FATIN FARHANA JAPRE mahu berkongsi manfaat senaman taici dengan semua golongan muda yang kurang peka akan kepentingan kesihatan diri luaran dan dalaman.

Bagi menyebarkan cara yang holistik ke arah kesihatan dan kejayaan dalam hidup dengan gaya taici Chen, Resort World Genting berkolaborasi dengan Taiji Zenyun menjemput tiga Master Taici antarabangsa dari Hangzhou untuk menjalankan kelas taici di Chin Swee Caves Temple, Genting Highlands.

Program bermula 1 Ogos hingga 28 Ogos ini meliputi 72 pergerakan dalam masa empat minggu yang dikendalikan Master Li Tianjin, Master Li Junjie dan Master Yan Sujie. Meski pun ada banyak lagi cawangan taici di tempat lain, ia amat berbeza dengan gaya taici Chen yang ditawarkan Zenyun kerana bukan hanya sekadar senaman taici bahkan mempunyai unsur seni mempertahankan diri .

Melalui program ini, remaja bukan saja berpeluang belajar taici dari ‘Master Taici’ terlatih, malah dapat memastikan setiap gerakan yang dilakukan adalah betul. Anda juga akan belajar taijiquan sebagai seni mempertahankan diri dan teknik meditasi untuk menumpukan fikiran agar lebih fokus.

Selain itu, Chin Swee yang dipilih sebagai tempat untuk melakukan senaman taici sangat strategik kerana cuacanya yang sejuk dan dikelilingi pokok hijau mampu memberikan ketenangan minda.

Kekal segar

Menurut Presiden Taiji Zenyun, Chen Wei, pada masa kini ramai orang terlalu sibuk bekerja dan belajar sehingga tidak cukup waktu tidur. Ini akan mengakibatkan badan mereka lemah dan tidak bermaya untuk keesokan harinya. Justeru, taici Zenyun sangat membantu mengekalkan tahap kesegaran anggota badan kita walaupun sibuk dengan urusan seharian.

“Dengan melakukan taici selama 30 minit sehari, ia mampu mengekalkan kesihatan badan dan minda dalam jangka masa panjang. Selain itu, pembelajaran selama 90 minit bagi mereka yang pertama kali melakukan senaman taici akan merasakan perbezaan serta merta. Pukul lima hingga tujuh petang merupakan waktu terbaik untuk melakukan taici, namun bergantung sama ada senaman taici atau kung fu.

“Taici tidak memerlukan ruang atau peralatan khusus, apa yang penting ialah mengawal gerakan fizikal dengan lemah lembut dan pernafasan. Ia boleh dilakukan di mana-mana saja dan dalam perubatan, taici terbukti sebagai salah satu senaman alternatif dan terapi holistik,” katanya.

Berdasarkan pengalaman Master Yan Sujie pula, beliau sudah pun mengajar taici kepada remaja di China sejak 2003. Baginya taici sangat penting untuk remaja kerana ia akan melatih seseorang menjadi sabar, berkeyakinan tinggi, mempunyai postur badan dan personaliti yang menarik.

“Apabila belajar taici, anda perlu berlatih pergerakan yang sama banyak kali sehingga ia betul-betul sempurna. Ini secara tak langsung melatih anda untuk lebih bersabar dan tidak mudah berputus asa. Justeru itu, tanpa sedar anda membawa sikap ini ke dalam bidang pembelajaran di sekolah atau pun kolej.

“Pergerakan dalam taici juga boleh menjadi laju dan perlahan, pergerakan perlahan dapat mengajar remaja bagaimana mengurangkan tekanan mereka dan memberi impak positif terhadap rohani dan jasmani.

“Masa kini pula, remaja sukar mengawal tekanan, jadi taici amat membantu mengatasi masalah stress. Justeru itu, ramai remaja ‘ketagih’ dengan gajet dan mereka menunduk sepanjang masa, oleh itu taici mampu membantu membetulkan postur badan mereka,” katanya.

RM30 satu sesi

Lebih menarik lagi, program ini boleh dipelajari dan diamalkan oleh kanak-kanak berusia empat tahun sehingga dewasa berusia 80 tahun. Bagi sesiapa yang mahu merasakan pengalaman belajar taici dari anak didik Jet Li ini, anda hanya dikenakan bayaran RM30 untuk satu sesi manakala RM50 bagi mendapatkan sijil kursus taici yang meliputi enam kali sesi pembelajaran untuk lapan jenis pergerakan dan 12 kali sesi pembelajaran untuk 24 kali pergerakan dari Isnin hingga Khamis.

Ketika sidang media yang berlangsung di Chin Swee Caves Temple pada 31 Julai 2015 lalu, penulis dan pengamal media lain turut berpeluang merasai pengalaman belajar taici sebanyak tiga sesi. Jujur penulis katakan, taici walaupun pergerakannya lemah lembut, tetapi memberi kesan kesegaran serta merta terhadap anggota badan kita. Ini membuktikan taici memberi tindak balas positif dan cepat kepada individu.

Dalam pada itu, Resorts World Genting turut menawarkan pakej menarik bagi sesiapa yang mahu menginap di kediaman Chin Swee sepanjang sesi pembelajaran taici di Chin Swee Caves Temple. Pakej tersebut termasuk kelas pengalaman, penginapan dan set sarapan pagi dengan harga RM110 dan ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 8:57 AM