RUTIN sukar perlu dikuasai secara perlahan-lahan. FOTO Sumber Google
RUTIN sukar perlu dikuasai secara perlahan-lahan. FOTO Sumber Google
Nurul Husna Mahmud

KHUATIR timbul rasa dahaga dan penat menjadi punca ramai yang mengelak untuk melakukan senaman.

Sedangkan senaman antara aktiviti terbaik selepas menikmati pelbagai juadah ketika meraikan Aidilfitri.

Bagi anda yang berpuasa sunat Syawal, rutin senaman sebaiknya dilakukan 30 minit untuk rutin tiga kali seminggu berbanding rutin biasa yang setidak-tidaknya memerlukan satu jam bagi satu pusingan senaman lengkap.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, senaman yoga antara yang sesuai dilakukan di rumah namun berbeza mengikut individu.

Bagi mereka yang baharu mengenali disiplin senaman ini beberapa tip boleh dijadikan panduan menerusi perkongsian gedung barangan sukan, Decathlon iaitu cara terbaik memulakan senaman yoga dari rumah:

1. Mula dengan tinjauan dan kajian jenis yoga

Yoga terdapat pelbagai jenis dan boleh lihat apa kesesuaian 'pose' senaman itu dengan anda. Contohnya Yoga Hatha, gerak gaya perlahan dan terkawal atau lebih agresif pilihan Yoga Vinyasa.

Kajian itu juga membantu mengenali pakaian yang sesuai selain persiapan iaitu tikar yoga tidak licin membuatkan postur lebih stabil.

2. Ruang sesuai

Yoga memerlukan ruang bersesuaian dengan aliran udara yang baik. Sebaiknya ruang yang 'senyap' kerana ia membantu mereka yang melakukan senaman ini lebih relaks. Anda boleh menambah lilin aroma untuk lebih menenangkan.

3. Berlatih dengan kerap

Setiap hari pilih waktu yang sesuai untuk anda lakukan yoga secara konsisten. Ini kerana tempoh itu senaman pendek hanya kira-kira 15 atau 20 minit sudah mampu memberi kesan kepada kesihatan.

Apabila dilakukan setiap hari juga, individu akan lebih mahir dan boleh mempelbagaikan postur baru setiap minggu.

4. Matikan Gangguan

Telefon, komputer, televisyen dan radio perlu dielakkan untuk fokus kepada senaman yoga. Zon bebas gangguan ini penting kerana fokus terhadap senaman membantu mengelak risiko kecederaan.

MEMBANTU kawalan pernafasan baik. FOTO Sumber Google
MEMBANTU kawalan pernafasan baik. FOTO Sumber Google

5. Mulakan yang asas

Terus kepada rutin yang sukar mungkin kelihatan hebat di Instagram! Tetapi mengenai senaman ini, sebetulnya perlu mempelajari teknik asas.

Mulakan dengan pembukaan dan seterusnya kepada postur yang mudah sebelum ke teknik lebih rumit. Lakukan dengan perlahan-lahan kerana dengan postur betul membantu individu berasa selesa dan percaya dengan kemampuan tubuh.

6. Amalkan ketika perut kosong

Anda boleh berlatih yoga pada bila-bila masa, tetapi yang terbaik adalah melakukannya dua hingga tiga jam selepas makan malam. Sukar untuk menggunakan berlatih yoga dengan perut penuh, selain boleh menyebabkan mual. Itu bukan cara yang baik untuk memulakan latihan anda.

7. Memanaskan badan

Rutin pembukaan atau memanaskan badan penting kerana sebelum ke tahap lebih susah. Sekali lagi, mulailah dengan perlahan dan gaya ringkas sebelum beralih ke gaya yang lebih sukar. Ini akan melindungi badan daripada kecederaan.

8. Tarik nafas

Mengenai yoga, ia bukan hanya senaman berkait dengan postur badan semata-mata. Senaman ini juga ada kaitan dengan teknik pernafasan dalam mengoptimumkan impak baik kepada mereka yang melakukannya.

Kalau anda sudah mahir, seperti mampu menarik nafas panjang bagi melengkapkan satu gaya. Manakala jika mudah kehabisan nafas, ini adalah cara badan memberitahu untuk lebih perlahan.

LILIN beraroma boleh dipasang memberi perasaan relaks ketika bersenam. FOTO Sumber Google
LILIN beraroma boleh dipasang memberi perasaan relaks ketika bersenam. FOTO Sumber Google

9. Sejukkan tubuh atau 'cooling down'

Sama seperti senaman lain, yoga memerlukan individu memanaskan badan di permulaan dan menyejukkan pada sesi akhir. Postur pemulihan yang perlahan pada akhir latihan anda akan membiarkan tubuh 'sejuk' secara semula jadi. Jika anda berakhir dengan Savasana (berbaring) pula, anda akan membiarkan minda dan badan untuk berehat serta kembali kepada keadaan normal.

10. Belajar daripada pakar

Mahu mahir dalam sesuatu senaman perlulah pelajari daripada jurulatih yang berpengalaman. Tidak semestinya perlu meninggalkan rumah untuk belajar. Terdapat kelas dalam talian yang boleh diikuti. Cari tutorial mengikut tahap dan kemahiran supaya senaman ini bukan satu yang membebankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:30 AM