PERLU tegas hadkan tempoh anak guna gajet, galak terbabit secara aktif dalam riadah sekeluarga.
PERLU tegas hadkan tempoh anak guna gajet, galak terbabit secara aktif dalam riadah sekeluarga.

Kanak-kanak leka bermain gajet, tenggelam dalam dunianya sendiri, lambat menyahut panggilan ibu bapa dan tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekelilingnya adalah perkara biasa. Rata-rata kurang berminat untuk terbabit dalam aktiviti cergas dan lebih rela ‘berhibernasi’ di dalam bilik melayan gajet mereka.

Ibu bapa yang mempunyai anak begini perlu mengambil tindakan segera. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengamalkan gaya hidup tidak aktif berisiko untuk mengalami masalah tulang lemah - satu keadaan yang tidak sepatutnya berlaku pada golongan muda khususnya dalam lingkungan umur remaja.

Penyelidik Kanada menganalisis aktiviti fizikal dan kekuatan tulang ke atas lebih 300 remaja dalam tempoh empat tahun membabitkan lingkungan umur 10 hingga 14 tahun bagi perempuan dan 12 hingga 16 tahun bagi lelaki. Ini peringkat umur yang penting untuk pembentukan tulang seseorang individu.

Dalam tempoh empat tahun itu, didapati sehingga 36 peratus pembentukan rangka manusia berlaku dan tulang perlu cukup kuat bagi membolehkan kita melakukan pelbagai aktiviti fizikal, kata penyelidik. Kajian ini disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan Mineral dan Tulang pada Mac lalu.

Menurut Ketua Penyelidik, Pakar Ortopedik Universiti British Columbia Dr Leigh Gabel, mereka mendapati remaja kurang aktif mempunyai tulang yang lebih lemah, sedangkan kekuatan tulang itu amat penting untuk mencegah berlaku keretakan atau patah tulang.

“Kanak-kanak yang tidak banyak bergerak sebenarnya tak memberikan cukup rangsangan kepada tulang untuk menjadikannya kuat. Inilah sebabnya kanak-kanak dan remaja perlu melakukan aktiviti yang menggalas berat badan seperti berlari, melompat, menari atau sukan bola sepak, badminton, bola keranjang dan bola jaring,” katanya seperti yang diterbitkan dalam web berita kesihatan HealthDay News.

Bagaimanapun, jika tidak gemarkan aktiviti cergas yang disenaraikan di atas tidak mengapa. Anak anda boleh memilih sebarang aktiviti yang membabitkan banyak pergerakan badan yang disukainya seperti menari mengikut pergerakan artis, mendaki bukit, lompat tali skip, bermain kejar-kejar dengan haiwan kesayangan atau sekadar berjalan cepat di taman.

Cara paling mudah adalah menyertai pelbagai acara riadah umum sama ada jogaton, walkaton atau senamrobik. Atau anda boleh memasang muzik rancak dan menari bersama anak dengan gaya sendiri.

Bahkan tidak keterlaluan untuk anda sekeluarga menyertai sukan merentas desa sekolah di kawasan perumahan anda sebagai tanda sokongan kepada gaya hidup cergas. Melalui cara ini anda juga boleh bersedekah dengan menyediakan minuman kepada peserta.

JADIKAN AKTIVITI KELUARGA

Sebagai ibu bapa, tentunya anda mahukan yang terbaik untuk anak. Kita memberikan makanan, pakaian dan pendidikan terbaik tetapi ada kala ibu bapa terlupa aspek perkembangan tulang anak yang memerlukan rangsangan fizikal.

Jika anda juga termasuk dalam golongan yang kurang aktif, sudah tiba masanya untuk mengubah gaya hidup dengan memasukkan aktiviti fizikal sebagai agenda wajib keluarga demi kebaikan anak.

Pada masa sama, anda perlu tegas untuk mengehadkan tempoh anak menggunakan gajet dan menggalakkan mereka untuk terbabit secara aktif dalam riadah sekeluarga.

Tulang ialah tisu hidup. Aktiviti galas berat akan menyebabkan tisu tulang yang baru terbentuk dan ia membantu menguatkan tulang. Aktiviti seperti inilah juga yang akan membuatkan otot kita kuat. Tulang dan otot akan sama-sama menjadi kuat apabila otot mengecut dan meregang ketika tulang bergerak.

Aktiviti galas berat ialah aktiviti yang memerlukan kita banyak berjalan dan berlari dengan menanggung berat badan. Aktiviti galas berat ini termasuklah berjalan, menaiki tangga, berlari, melompat, menari, mendaki, mengangkat beban dan sebagainya.

Bagaimanapun, berenang dan berbasikal tidak termasuk dalam kategori aktiviti galas berat kerana berat badan kita ‘ditanggung’ oleh air atau basikal. Namun kedua-dua aktiviti ini tetap memberi manfaat kepada pembinaan otot yang kuat. Ia juga baik untuk jantung dan kesihatan badan secara menyeluruh.

TEMPOH PENTING

Mengapa kita perlu menggalakkan anak remaja untuk giat melakukan aktiviti cergas? Pada usia inilah proses pembentukan jisim tulang paling banyak berlaku iaitu sejurus sebelum dan ketika baligh. Pembentukan jisim tulang sampai ke kemuncaknya pada usia remaja.

Inilah sebabnya kita perlu memastikan anak memanfaatkan sepenuhnya usia remaja mereka kerana pembentukan jisim tulang akan mula menurun dengan peningkatan usia.

Soalnya, berapa lama tempoh bersenam yang diperlukan?

Secara purata kanak-kanak dan remaja berusia dari enam hingga 17 tahun perlu bergiat aktif sekurang-kurangnya 60 minit sehari. Jika tidak boleh bersenam selama sejam tidak mengapa kerana aktiviti cergas ini boleh dibahagikan kepada beberapa sesi, contohnya 20 minit satu sesi, yang dilakukan tiga kali sehari.

Kanak-kanak dan remaja sepatutnya melakukan aktiviti menguatkan tulang sekurang-kurangnya dalam tiga hari seminggu.

Kanak-kanak yang lebih kecil berusia dua hingga lima tahun pula digalakkan aktif bermain beberapa kali sehari.

Sebenarnya aktiviti cergas ini bukan untuk kesihatan tulang saja. Senaman bersama keluarga akan mengeratkan hubungan anda dengan pasangan dan anak, menjadi ‘ubat’ paling mudah dan murah untuk meningkatkan keseimbangan, mengawal atau menghindari penyakit gaya hidup, mengurangkan tekanan selain membolehkan anda tidur nyenyak.

Banyak kajian menunjukkan senaman juga antara cara untuk kita menjauhkan diri daripada risiko osteoporosis, kanser, kemurungan, nyanyuk, melengahkan penuaan otak dan paling penting ia boleh melancarkan aliran darah serta memberi stamina supaya kita boleh beribadat dengan baik.

Sudah tiba masanya kita menjadikan ‘senaman’ sebagai hadiah terbaik untuk diri sendiri dan seisi keluarga.

Permulaannya memang sedikit payah tetapi percayalah, dengan kesungguhan dan istiqamah, manfaatnya akan dapat dinikmati sepanjang hayat. -Norlaila Hamima Jamaluddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 10:39 AM