HAFIZH Syahrin ketika berlumba buat pasukan Monster Yamaha Tech3 pada Kejuaraan Motosikal Malaysia di Sepang, tahun lalu. - FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
HAFIZH Syahrin ketika berlumba buat pasukan Monster Yamaha Tech3 pada Kejuaraan Motosikal Malaysia di Sepang, tahun lalu. - FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saiful Affendy Sapran


AZLAN Shah Kamaruzaman, Habibullah Mohd Salleh, Danial Syahmi Shahril dan Muhammad Helmi Azman menjadi pencabar Hafizh Syahrin Abdullah dalam usaha mempertahankan Anugerah Pelumba Terbaik Antarabangsa, minggu depan.

Hafizh bagaimanapun dijangka mengekalkan anugerah itu pada majlis Anugerah Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) PETRONAS SIC, 12 Februari ini selepas berada dalam senarai pendek untuk kategori itu.

Afiq Ikhwan Yazid yang beraksi pada perlumbaan Lamborghini Super Trofeo pula diramal mempertahankan Anugerah Pemandu Terbaik Antarabangsa.

Dia menerima saingan sengit Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri, Weiron Tan dan Mitchell Cheah.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, saingan bagi semua kategori untuk tahun ini amat sengit.

“Ramai individu yang berkelayakan untuk menang anugerah kerana mereka bukan saja mencipta nama dalam negara tapi juga di luar.

“Apa pun kami akan memilih yang terbaik walaupun ia tugas sukar,” katanya ketika ditemui pada sidang media anugerah yang memasuki tahun ketiga itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 7:42 PM