Loo Peng Wah (baju biru) hadapi 224 tuduhan. FOTO L. Manimaran
Loo Peng Wah (baju biru) hadapi 224 tuduhan. FOTO L. Manimaran
Shamsul Kamal Amarudin


SEORANG ahli perniagaan berhadapan 224 tuduhan berkaitan tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM19 juta di Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini.

Tertuduh, Loo Peng Wah, 52, pada September 2017 pernah menghadapi 22 tuduhan sama membabitkan nilai lebih RM1 juta.

Dia bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Terdahulu, jurubahasa mahkamah mengambil masa 45 minit untuk membacakan semua pertuduhan berkenaan dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh didakwa memperguna 60 orang untuk membuat pernyataan atau catatan palsu berhubung cukai input dengan niat untuk memperoleh kredit atau tuntutan balik bagi GST di lima premis sekitar negeri ini, antara November 2015 hingga Mei 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga 20 kali ganda daripada amaun cukai atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), S Thanganatchya, manakala Loo diwakili peguam Chan Choon Yew dan Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Thanganatchya menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan atau keseluruhan RM6.72 juta dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan atau RM224,000, memandangkan jaminan hanya untuk memastikan Loo hadir ke mahkamah.

Katanya, tertuduh terpaksa meringkuk dalam penjara selama setahun empat bulan disebabkan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi dalam kes sebelum ini.

Azman kemudian membenarkan jaminan RM500,000 terhadap Loo dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri ke pejabat JKDM berhampiran, sebulan sekali. Kes itu disebut semula pada 1 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 5:50 PM