Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengelakan cukai dan duti bagi pengimportan senjata api di Mahkamah Sesyen Sepang. FOTO FATHIL ASRI
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengelakan cukai dan duti bagi pengimportan senjata api di Mahkamah Sesyen Sepang. FOTO FATHIL ASRI
Samadi Ahmad


Sepang: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengelak membayar duti dan cukai pengimportan senjata api.

Zaikry Sani Mohd Isa, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berlainan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayyuni Izzaty Sulaiman dan Hakim Noor Hisham Mohd Jaafar manakala pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Mohd Azawan Shah Amdan.

Terdahulu di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa membuat suatu pengikraran yang tidak benar membabitkan sebuah jabatan kerajaan bagi mendapatkan pengecualian duti.

Dia dakwa melakukan perbuatan itu di MASkargo, Kompleks Free Commercial Zone (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.11 petang, 20 Julai 2016

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 133(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa mengelak duti import RM77,806.65 membabitkan 50 Baretta Pistol model APX 9mm 2) dan 70 Baretta Shotgun model 1310 Tactical Cal.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam iaitu RM778,066,50 dan tidak lebih dari 20 kali ganda dari amaun duti kastam iaitu RM1,556,133.00 atau, hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh didakwa membuat suatu pengikraran tidak benar membabitkan senjata api terbabit dan telah menjejaskan nilai cukai barang dan perkhidmatan sebanyak RM20,229.73 menurut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 bagi pengimportan barangan berkenaan di bawah Seksyen 88(c) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Bagi kesalahan ini tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya; dan dikenakan suatu penalti yang bersamaan dengan amaun cukai yang terkurang dikenakan atau berkemungkinan akan terkurang dikenakan sedemikian jika penyata atau maklumat itu telah diterima dengan betul.

Mahkamah membenarkan ikat jamin berjumlah RM15,000 bagi tiga kesalahan itu selepas tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan kerana mempunyai ramai tanggungan.

Mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:17 PM