FARAH hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi sebutan kes saman berkaitan tuduhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (GST) 2014.
FARAH hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi sebutan kes saman berkaitan tuduhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (GST) 2014.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes saman Bendang Afwa Enterprise yang mahu mengetepikan pertuduhan kes pendakwaan ke atas syarikat itu mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membuat keputusan itu bagi membolehkan pihaknya menunggu keputusan permohonan pemilik syarikat itu Farah Jamiah Fikri, 35, yang memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan saman berkenaan.

Peguam bela yang mewakili syarikat berkenaan Collin Arvind Andrew memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan mengetepikan saman itu sudah difailkan anak guamnya.

“Pengurusan kes untuk permohonan itu ditetapkan pada 24 Jun ini dan (pihak kami) memohon mahkamah memberikan tarikh lain untuk sebutan semula kes,” katanya.

Syarikat berkenaan pada 14 April lalu, didakwa melakukan kesalahan mengeluarkan invois cukai tidak mengandungi butir ditetapkan mengikut Seksyen 33(2)(b) Akta GST 2014 di restoran milik syarikat berkenaan di Setia Alam, di sini.

Bagi kesalahan itu, pemilik syarikat berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 96 yang boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Ahmad Azahari membenar ikat jamin sebanyak RM5,000 manakala defendan dilepaskan tanpa dibebaskan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 7:56 AM