TUNKU Imran harap tiada perpecahan selepas berakhirnya pemilihan MOM esok. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
TUNKU Imran harap tiada perpecahan selepas berakhirnya pemilihan MOM esok. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Azlan Muhammad Zain


PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar berharap tidak wujud perpecahan selepas berakhir pemilihan badan induk itu bagi penggal 2018-2021 esok.

Walaupun Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria akan disahkan sebagai presiden baru MOM menggantikan Tunku Imran esok, saingan sengit membabitkan barisan kepimpinan yang lain dijangka berlaku.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan ditentang Pengerusi Institut Sukan Negara(ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bagi merebut jawatan Timbalan Presiden MOM.

Malah bagi Naib Presiden terdapat sembilan calon menawarkan diri untuk lima jawatan (termasuk satu untuk wanita) yang ditawarkan.

Lebih menjadi tumpuan adalah jawatan Setiausaha Agung antara penyandangnya, Datuk Low Beng Choo yang akan dicabar Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib.

“Individu tampil bertanding dengan pelbagai alasan. Berdasarkan jumlah calon, ia sesuatu yang bagus untuk perkembangan sukan kerana mereka berminat menyumbang sesuatu.

“Sekiranya wujud (perpecahan) selepas pemilihan, Norza perlu mengambil langkah segera supaya mereka bersatu. Namun saya berharap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Tegasnya, sesebuah organisasi perlu ada persefahaman dan akan berdepan masalah jika sebaliknya berlaku.

“Kepada yang terpilih, anda perlu bekerjasama dalam pasukan, tanpa mengira anda dari kem mana sebelum ini. Ia umpama renang seirama.”

Sebanyak 35 persatuan sukan kebangsaan akan mengundi barisan kepimpinan baru MOM esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 5:54 PM