ANGGOTApolis memeriksa serpihan yang ditemui di pantai Pulau Reunion. FOTO EPA
ANGGOTApolis memeriksa serpihan yang ditemui di pantai Pulau Reunion. FOTO EPA

Kuala Lumpur: Pakar penerbangan Australia yakin serpihan yang terdampar di Pulau Reunion di Lautan Hindi milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ketua pasukan pencari merangkap Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Martin Dolan berkata, pihaknya begitu yakin bangkai itu adalah flaperon milik MH370 berdasarkan bentuk objek daripada sayap Boeing 777 dan juga nombor pengenalan khusus milik pesawat malang itu.

“€œKami masih bekerja dengan pihak berkuasa dari Perancis dan Malaysia untuk menganalisis semua maklumat dan kami berharap keputusan itu dapat diperoleh dalam tempoh 24 jam akan datang.

“Kami tidak dapat beri pengesahan sepenuhnya tetapi jelas kita akan bekerja dengan Boeing dan agensi lain untuk menganalisis semua maklumat. Kami berharap penemuan ini boleh merungkai misteri MH370,” katanya kepada AFP.

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu satu kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa dan 239 individu berkenaan dianggap terkorban. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 12:39 PM