Perth: Lapan lelaki termasuk bapa seorang budak perempuan berusia 13 tahun menghadapi lebih 500 dakwaan kesalahan seks terhadap budak perempuan itu dalam kes yang dianggap polis sebagai penderaan paling dahsyat selama dua tahun.

Polis menahan semua lelaki terbabit yang berusia antara 35 hingga 47 tahun minggu lalu, selepas mendapat maklumat daripada orang ramai pada April.

Mereka menghadapi 503 tuduhan, termasuk hubungan seks dengan kanak-kanak bawah 13 tahun, memberi dadah dan alkohol kepada budak itu, melakukan rakaman video tidak senonoh serta mengedarkan bahan lucah kanak-kanak.

Seorang daripada lelaki itu memiliki 200,000 video dan empat juta gambar lucah walaupun tidak semua membabitkan budak perempuan 13 tahun itu.

“Ia bahan yang menjijikkan. Tiada perkataan boleh menjelaskannya,” kata Superintendan Detektif Glenn Feeney pada sidang akhbar di Perth, hari ini.

Menurutnya, budak perempuan itu sudah diselamatkan dan ketika kejadian, mangsa berusia antara 11 hingga 13 tahun.

Feeney berkata, bapa budak berkenaan antara yang didakwa tetapi berikutan mereka sudah dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak dapat menyatakan sama ada lelaki lain membayar bapa berkenaan untuk perbuatan keji mereka dengan mangsa.

“Setiap lelaki itu mengenali bapa mangsa yang mengaturkan penderaan itu,” katanya.

Polis masih meneruskan siasatan dan Feeney tidak menolak kemungkinan ada lagi akan ditahan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 4:37 PM