Siti Norhayati yang dilaporkan hilang bukan budak perempuan yang kononnya ditemui minta sedekah di Thailand.
Siti Norhayati yang dilaporkan hilang bukan budak perempuan yang kononnya ditemui minta sedekah di Thailand.
Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Miri: Polis Miri mengesahkan maklumat yang tersebar di laman sosial mendakwa budak perempuan berusia lapan tahun, Siti Norhayati Samsuddin adalah budak perempuan sama kononnya ditemui meminta sedekah di Thailand adalah palsu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, polis pergi berjumpa bapa kepada Siti Norhayati dan dia mengesahkan gambar budak perempuan di Thailand yang ‘viral’ di laman sosial itu bukan anaknya yang hilang.

"Menurut bapa kanak-kanak itu, anaknya ketika ini dipercayai tinggal bersama bekas isterinya di Bintulu.

"Pasangan itu sudah bercerai dan ibu kanak-kanak berkenaan membawa anaknya keluar dari rumah pada November tahun lalu.

“Perselisihan faham antara pasangan itu menyebabkan lelaki terbabit membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang," katanya.

Polis meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat berkaitan Siti Norhayati di laman sosial kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan memberi tekanan kepada kanak-kanak itu.

Kelmarin, gambar didakwa budak perempuan fasih berbahasa Melayu kononnya rakyat negara ini yang ditemui polis Thailand meminta sedekah di negara itu tersebar di laman sosial.

Pada masa sama, kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dihantar ke Thailand

Maklumat mengenai Norhayati turut tersebar kerana didakwa dia adalah budak perempuan yang meminta sedekah itu.

Harian Metro malam tadi melaporkan semua maklumat itu adalah rekaan semata-mata.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Ahmad Taufik Abdullah dipetik berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penemuan kanak-kanak itu.

Katanya, tiada pegawai polis IPD Tumpat dihantar ke Thailand untuk membuat pengesahan seperti didakwa.

Jurucakap Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman turut menafikan identiti dan gambar budak didakwa minta sedekah di Thailand itu pernah wujud di dalam portal kanak-kanak hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa sama, pihak berkuasa Thailand juga tidak menghubungi Bukit Aman untuk meminta waris atau keluarganya tampil menuntut mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:13 AM