Kuala Lumpur: AirAsia dan AirAsia X mengumumkan potongan istimewa 20 peratus daripada tambang asas bagi semua tempat duduk dan semua penerbangan* bagi kedua-dua kumpulan syarikat penerbangan berkenaan dalam satu tawaran eksklusif yang berlangsung selama seminggu bersempena bermulanya kempen sambutan 300 juta tetamu.

Tawaran istimewa itu boleh didapati bagi tempahan menerusi laman airasia.com bermula hari ini hingga 2 Ogos 2015 bagi perjalanan segera dari 28 Julai hingga 30 November 2015.

Selain daripada laman web, tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih AirAsia bagi peranti Android dan iPhone, begitu juga laman mudah alih mobile.airasia.com.

Tawaran itu merangkumi semua penerbangan* AirAsia dan AirAsia X termasuk servis penerbangan sambungan (Fly-Thru) bagi kod penerbangan AK (Malaysia AirAsia), D7 (Malaysia AirAsia X), FD (Thai AirAsia), XJ (Thai AirAsia X), QZ (Indonesia AirAsia), I5 (India AirAsia), XT (Indonesia AirAsia Extra), PQ dan Z2 (Filipina AirAsia).

Ketua Kumpulan Komersial AirAsia Siegtraund Teh berkata, pihaknya sangat teruja dengan bermulanya sambutan 300 juta tetamu dan ini adalah satu lagi peristiwa penting bagi keseluruhan kumpulan AirAsia dan AirAsia X.

“Kami berbesar hati kami dapat merealisasikan banyak impian penumpang kami untuk terbang dan meneroka dunia dan kami juga teruja untuk mempersembahkan tetamu ke-300 juta kami dengan satu kejutan besar yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

AirAsiaGo, bahagian percutian syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia itu juga akan menawarkan tawaran istimewa bagi tetamu AirAsia dan AirAsia X semasa tempoh tawaran itu dengan penjimatan hebat bermula daripada serendah RM169 seorang bagi 3 hari/2 malam termasuk penerbangan dan penginapan atau RM59 semalam bagi penginapan sahaja.

*Semua penerbangan kecuali penerbangan XJ (Thai AirAsia X) ke/dari Sapporo, QZ (Indonesia AirAsia) bagi penerbangan domestik Indonesia dan penerbangan Surabaya ke/dari Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:06 AM