Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Langkah pertama skuad bawah 12 tahun (B-12) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) untuk cuba mencipta gemilang di pentas antarabangsa tidak kesampaian apabila gagal mara ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Saitama B-12 di Jepun, kelmarin.

Skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu sekadar menduduki tangga kedua kumpulan A di belakang pasukan tuan rumah, Saitama South FC yang gah ke suku akhir menerusi perbezaan jumlah jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat empat mata hasil dua aksi sebelum ini.

Keputusan itu jelas amat sukar untuk ditelan pengendalinya, namun beliau bertekad untuk menebus kehampaan itu dalam perebutan kategori plate selepas ini.

Menurut Wan Rohaimi, faktor kepenatan nyata mengganggu rentak pasukan bimbingannya selepas hanya diberikan rehat selama 60 minit selepas aksi pertama bertemu Okayama sebelum turun menentang Saitama berbanding wakil tuan rumah itu yang bermain pada sebelah petang untuk aksi kedua.

“Pada perlawanan pertama saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain dan hasilnya kami menang 3-0.

“Tapi, selepas itu, pemain saya cuma diberi rehat yang sekejap sebelum turun pada perlawanan kedua. Pergerakan pemain dalam babak pertama agak perlahan mungkin masing-masing penat dan selepas ditegur ketika waktu rehat, barulah ada pergerakan.

“Sekiranya dari awal pemain kami main ikut apa yang dirancang dan beraksi seperti perlawanan pertama, mungkin kami boleh menang dalam aksi kedua itu berbanding sekadar seri 1-1,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:04 AM