Barisan pemain PDRM FC. FOTO PDRM FC
Barisan pemain PDRM FC. FOTO PDRM FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mahu anak buahnya memburu kemenangan pada aksi terakhir Liga Perdana menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa ini.

Jelas Wan Rohaimi, biarpun pasukannya sudah kekal di Liga Perdana musim ini namun tiket ke Piala Malaysia masih terbuka dan beliau mahu tiga mata penuh diraih bagi menjamin tempat ke saingan tertua di Asia itu.

Katanya, mereka perlu menang bagi berada dalam posisi ketiga hingga kelima Liga Perdana yang sekarang ini sedang disaing hebat Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United.

"Keutamaan pada saya adalah untuk layak dahulu dengan cuba mendapatkan keputusan positif berdepan Negeri Sembilan, selepas itu terpulang untuk duduk di kumpulan mana, sama ada Kumpulan B, C atau D."

Ujarnya lagi, jika skuad The Cops berjaya melangkah ke Piala Malaysia, beliau tidak kisah pasukannya ditempatkan dalam mana-mana kumpulan nanti.

"Walaupun sedar pasukan saya 'underdog', saya sudah tegaskan kepada pemain yang kita bukan masuk sekadar sertai pertandingan atau melengkapkan jadual.

"Saya mahu pastikan penyertaan PDRM dapat berikan kesan serta mampu mencabar pasukan-pasukan lebih besar dan kami mahu layak sekurang-kurangnya ke suku akhir, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:12 PM