TUGASAN pertama Wan Rohaimi menentang TFC II pada Sabtu ini.
TUGASAN pertama Wan Rohaimi menentang TFC II pada Sabtu ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail dilantik pengendali baharu skuad PDRM FC berkuat kuasa serta merta bagi menggantikan Mat Zan Mat Aris. Berpengalaman sebagai jurulatih pembangunan selama 10 tahun di Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Pulau Pinang, Wan Rohaimi diharap untuk membentuk skuad Sang Saka Biru supaya menjadi pasukan pencabar Liga Perdana.

"Selama saya berada dalam bidang kejurulatihan 10 tahun, saya yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk membina pemain daripada biasa-biasa kepada luar biasa dan juga pasukan biasa-biasa kepada luar biasa," katanya.

Menyedari kedudukan PDRM FC tidak begitu baik selepas lima perlawanan, Wan Rohaimi mengakui banyak kerja perlu dilakukan.

"Banyak kerja perlu saya buat iaitu memperbetulkan pasukan dari titik A hingga Z serta menukar cara pemikiran pemain. Insya-Allah, di penghujung tahun, dengan sokongan padu pengurusan kita boleh tengok di mana pasukan PDRM FC akan berada," katanya.

Tugasan pertama Wan Rohaimi adalah aksi menentang Terengganu FC II Sabtu ini.

PDRM FC menghuni tangga sembilan daripada 11 pasukan dengan hanya mengumpul tiga mata selepas mengharungi lima aksi setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 5:20 PM