FERGUSON dan Wenger terima pengiktirafan. FOTO Agensi
FERGUSON dan Wenger terima pengiktirafan. FOTO Agensi
AFP

London: Bekas pengurus Manchester United Alex Ferguson dan bekas pengendali Arsenal Arsene Wenger hari ini menjadi pengurus pertama tersenarai di Dewan Kemasyhuran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kedua-dua tokoh itu bersaing sengit pada era 90-an dengan menjuarai 16 gelaran utama Inggeris di antara mereka.

Ferguson, 81, adalah pengurus paling berjaya dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membawa Manchester United meraih 13 gelaran manakala Wenger menjuarainya tiga kali termasuk tidak pernah kalah pada musim 2003/04.

Ferguson mengendalikan United lebih 26 tahun memenangi gelaran EPL yang kali pertama diperkenalkan pada 1992/93 sekali gus kejayaan liga pertama Red Devils sejak 1967.

Enam pemain di bawah Ferguson sudah pun tersenarai lebih awal di Dewan Kemasyhuran Liga Perdana Inggeris -- David Beckham, Eric Cantona, Roy Keane, Wayne Rooney, Peter Schmeichel dan Paul Scholes.

"Menjadi satu penghormatan apabila anda diberi penghargaan seperti ini," kata Ferguson yang bersara pada 2013 selepas menjuarai gelaran ke-13nya.

"Namun, ia bukan sahaja mengenai saya tetapi tugas di Manchester United dan hubungan erat selama bertahun-tahun, jadi saya turut bangga dengan kelab, staf dan pemain saya."

Wenger pula tiba di Arsenal pada 1996 sebagai antara pengurus asing pertama di EPL dan kekal di kelab itu sehingga 2018.

"Berkongsi pengiktirafan ini bersama Sir Alex adalah penghormatan besar kepada saya," kata Wenger, 73, yang kini menjadi ketua pembangunan bola sepak Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:08 PM