BLACK makin ceria sambut Aidilfitri dengan adanya putera sulung berusia 6 bulan.
BLACK makin ceria sambut Aidilfitri dengan adanya putera sulung berusia 6 bulan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Pasangan Black Hanifah dan isterinya, Naquia Yasirah tidak perlu bersusah-payah menempuh kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung kerana beraya di ibu kota.

Jelas Black, sambutan Aidilfitri semakin ceria dengan adanya putera sulung mereka, Khaleef Dayyan yang kini berusia enam bulan. Lebih meriah apabila keluarga Naquia dari pulau Pinang juga beraya bersama mereka.

“Ini tahun kedua saya beraya sebagai suami dan pertama sebagai bapa.

“Beraya di Kuala Lumpur pun meriah. Apatah lagi keluarga Cira (Naquia) pun ada sama.

“Dalam keluarga saya, Khaleef cucu ketiga manakala keluarga Cira pula cucu kedua. Teruklah dia kena gomol.

“Untung Khaleef apabila dapat duit raya daripada saudara-mara dan rakan artis,” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Black rancak berniaga kuih raya Black Cookies di bazar Ramadan di Damansara dan Istana Budaya.

“Syukur kuih raya saya dapat sambutan hangat. Saya bawa Khaleef bersama dan sambil membeli peminat dapat tengok dia daripada dekat. Menariknya dia langsung tak meragam dan menangis,” katanya.

Akan hasilkan muzik video

Sibuk memenuhi undangan persembahan majlis rumah terbuka, Black tetap melapangkan masa mempromosikan album kedua berjudul Black.

“Sepatutnya saya menjalani penggambaran klip video Mana Mungkin Ramadan lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana beberapa masalah tidak dapat dielakkan.

“Saya kena siapkan klip video ini secepat mungkin kerana album kedua akan dipasarkan apabila ada klip video. Album ini memuatkan enam lagu,” katanya.

Dalam pada itu, Black gembira apabila diberi peluang menyanyikan lagu Syukur Selalu yang menjadi tema kempen Ramadan dan Aidilfitri TV3.

“Lagu ciptaan Hanisah Hassan dan Zuliana Eusoff ini memang menarik. Saya berduet dengan penyanyi hebat, Dayang Nurfaizah dan ini antara pengalaman berharga.

“Peminat yang ingin menyaksikan klip video penuh boleh melayari YouTube dan menaip muzik video #SyukurSelalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 9:14 AM