KERJA tangan yang baik bantu tingkatkan kualiti dalam dunia fesyen.
KERJA tangan yang baik bantu tingkatkan kualiti dalam dunia fesyen.
HASIL rekaan Rizalman antara yang perlu dicontohi kerana mementingkan kerja tangan yang teliti.
HASIL rekaan Rizalman antara yang perlu dicontohi kerana mementingkan kerja tangan yang teliti.
ZAIHANI.
ZAIHANI.
Oleh Abie Abdullah

abie@media prima.com.my

Sejak Syaaban lalu, promosi pakaian berjenama tempatan semakin deras dimuatnaikkan di media sosial oleh usahawan atas talian. Apatah lagi tibanya Ramadan, bertambah banyak jenama yang muncul sekali gus memberi alternatif kepada kelengkapan sambutan Aidilfitri.

Perlumbaan dalam kalangan usahawan atas talian dalam perniagaan tekstil ini dilihat sebagai suatu perkembangan yang sangat positif untuk industri secara keseluruhan dan khususnya peniaga muda.

Malah ia dipersetujui oleh pengkritik dan pemerhati fesyen bebas, Zaihani Zain yang menganggap anak muda terutama generasi Y yang berani mencuba dan melakukan sesuatu yang baru dalam bidang kreatif serta menghasilkan jenama sehingga sebahagiannya menjadi fenomena.

Bagaimanapun kata wanita yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam bidang penggayaan, dia kecewa kerana kebanyakan usahawan dimaksudkan di atas tidak mempedulikan kepentingan kehalusan kerja tangan pada setiap helaian pakaian yang dihasilkan.

“Saya tidak menentang usahawan muda untuk melakukan bisnes dalam industri pakaian, bahkan saya sokong mereka membesarkan industri sedia ada.

“Namun kebanyakannya saya lihat, mereka tidak meletakkan elemen ‘penting’ di dalam satu-satu hasil kerja. Apabila menyentuh soal pakaian, saya begitu sensitif terhadap jahitan.

“Keadaan itu yang merosakkan pasaran. Mereka tidak menitikberatkan cara jahitan yang betul dan secara tidak langsung mereka telah mempromosikan nilai yang salah kepada masyarakat.

“Elemen kreatif ini menjadi rujukan kepada generasi akan datang yang mungkin mereka anggap tidak salah kerana ada orang terdahulu sudah melakukannya begitu.

“Hendak bisnes, bisneslah. Bagus sangat, tetapi mereka perlu menjaga ‘tatacara’ setiap helaian yang dibuat sebelum dijual. Harga yang mereka letak pula bukan sembarangan, kadang-kadang mengalah butik besar atau rekaan pereka fesyen ternama. Sedangkan hasilnya tidak seberapa, harapkan popular di Instagram atau Facebook,” kata Zaihani ketika ditemui baru-baru ini.

Sambil menunjukkan contoh lipatan jahitan yang baik pada blazer yang dipakainya petang itu, Zaihani menamakan pereka fesyen tersohor negara, Rizalman Ibrahim sebagai panduan terbaik dalam bisnes atas talian.

Menurutnya, Rizalman juga menghasilkan rekaan pakaian siap untuk pasaran atas talian yang berpangkalan di Zalora, namun lelaki itu memberi sentuhan tersendiri dan standard tertentu.

“Rizalman boleh dijadikan sebagai penanda aras dalam bisnes pakaian atas talian kerana dia tidak mengambil lewa terhadap kerja tangan.

“Ini tidak, kebanyakan usahawan atas talian sekarang sekadar terbang ke Vietnam, China atau sebagainya untuk mencari material dan hantar kepada tukang jahit, siap dan jual. Dan senang-senang menggelarkan diri mereka sebagai pereka fesyen,” katanya yang juga bekas ketua dan penasihat fesyen untuk Media Prima Berhad dan Astro.

Wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini bimbang sekiranya situasi ‘salah mendidik’ ini berterusan kerana ia mampu memberi impak kepada industri keseluruhan pada masa depan.

“Saya tidak mahu suatu hari nanti, yang salah akan diterima sebagai betul oleh generasi seterusnya. Ini bukan soal rekaan, tetapi kerja tangan termasuk cara potongan dan jahitan.

“Sebagai usahawan, bukan keuntungan saja perlu dilihat, tetapi tang­gungjawab terhadap industri tekstil itu sendiri kepada masyarakat.

“Jika mereka mempu­nyai jenama, tidak kisahlah ada butik atau bisnes atas talian sekali pun, mereka perlu mengambil berat setiap produk kerana ia membawa nama mereka juga.

“Tidak kiralah pereka fesyen atau sekadar usahawan peruncit, tetapi mereka tetap ada tanggungjawab terhadap produk mereka. Jangan popularkan nilai yang salah,” katanya.

Dalam pada itu, Zaihani turut menasihati pembeli atas talian supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kecantikan gambar yang dipaparkan di Facebook, Instagram atau laman web sehingga terus membuat pembelian.

“Kebanyakannya menggunakan model yang cantik sebagai tarikan dan itu situasi biasa untuk menarik perhatian. Bagaimanapun sering juga terjadi, produk dipamerkan di dalam gambar tidak sama dengan apa yang diterima pelanggan.

“Memang kita tahu ini antara risiko membeli menerusi atas talian. Bagi saya ini tidak amanah. Sering saya dengar kes begini, agaknya sekarang ia semakin terpencil, tetapi sebagai pengguna, kita harus tetap berhati-hati dan membeli daripada yang dipercayai,” katanya.

Kata Zaihani, tidak mustahil kebangkitan fenomena bisnes fesyen atas talian sedikit sebanyak meninggalkan impak kepada pereka fesyen arus perdana yang terlebih dulu mencipta jenama.

Sementara itu, sebagai pemerhati juga, Zaihani yang banyak menerima jemputan untuk ‘reviu’ pertunjukan fesyen mengakui ada antara pereka fesyen Malaysia yang tidak menitikberatkan kerja tangan.

“Apakah mereka fikir, pelanggan mereka itu bodoh sehingga tidak mempedulikan atau tidak tahu mengenai mutu jahitan? Fesyen bukan sekadar rekaan atau pemilihan fabrik.

“Pada saya, hanya 30 peratus daripada mereka yang mencapai standard kerja tangan seorang pereka besar. Jadi, macam manalah pereka fesyen kita nak bersaing dengan Thailand, Indonesia, Filipina dan sebagainya sekiranya soal ini tidak dipedulikan? Ini antara sebab kenapa pereka fesyen kita terutama kalangan bumiputera tidak ke depan kerana mereka terlalu menonjolkan kerja kreatif murahan,” katanya yang kagum dengan ramai pereka fesyen dari negara tetangga.

Bagaimanapun Zaihani turut bangga dengan kejayaan anak Malaysia seperti Datuk Jimmy Choo, Zang Toi serta yang terbaru nama Khoon Hooi, Joe Chia dan Silas Liew (antaranya) berjaya memahat jenama di pentas peragaan antarabangsa.

“Orang Melayu bukan tidak boleh, tetapi mereka ‘tidak mahu’ kerana terlalu ‘selesa’ dengan kerja tangan yang salah. Bahkan kebanyakan pereka tempatan terikut-ikut dengan kehendak pasaran sehingga mengikat mereka dengan rekaan sama saja. Rekaan busana Muslimah misalnya yang menjadi antara fenomena sekarang pun dibuat oleh pereka besar.

“Idea busana Muslimah mereka terkepung hanya kepada jubah atau abaya yang dianggap satu-satunya pakaian Islam yang menutup aurat. Di sinilah masalahnya pereka kita yang sengaja tidak mahu mengembangkan idea, sebalik­nya hanya meniru semata-mata.

“Secara sedar atau tidak, apabila sebut saja Muslimah, kita teringat jubah, padahal ia pakaian orang Arab. Saya suka mengikuti jenama Blancheur kerana konsep pakaian Muslimahnya yang lebih luas terbuka dan saya berharap ia dapat menembusi pasaran antarabangsa suatu hari nanti.

“Secara peribadi bagi saya, perkataan Muslimah tidak sepatutnya dikategorikan di dalam mana-mana fesyen kerana mana-mana pakaian yang sesuai dan menutup aurat, sudah cukup!

“Suasana sekarang lain sedikit kerana apabila menyebut baju Muslimah, kita akan tertumpu kepada butik yang menjual baju Muslimah yang kebanyakannya menawarkan jubah dan tudung. Sedangkan Muslimah adalah baju yang menutup aurat,” katanya.

Zaihani juga memberi tip mengenai penggunaan tudung yang padanya tidak harus berlawan dengan baju. Fokus utama adalah baju, bukannya tudung yang menjadi penampilan utama.

“Apabila tudung terlalu menonjol, ia akan ‘membunuh’ penampilan keseluruhan seseorang itu. Selain fungsinya untuk menutup aurat, tudung hanya menjadi pelengkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:53 AM