NORISH menunjukkan koleksi perhiasan yang baru saja dilancarkan.
NORISH menunjukkan koleksi perhiasan yang baru saja dilancarkan.
MENGGUNAKAN jenama Norish Kareem Couture Kuala Lumpur bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
MENGGUNAKAN jenama Norish Kareem Couture Kuala Lumpur bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
Siti Zarinah Sahib


Mampu menembusi pasaran luar negara, Indonesia dan London bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi dia baru saja membabitkan diri dalam bidang rekaan fesyen. Namun hakikatnya Norish Kareem berjaya melakukannya disebabkan bakatnya menghasilkan rekaan setanding pereka antarabangsa.

Ketika ditemui sebaik saja pulang dari London bagi menguruskan butik yang akan menjadi bilik pameran koleksi terbaru rekaannya di Damansara, dia memberitahu agak penat kerana baru kembali ke Malaysia selepas menyertai Pertunjukan Fesyen Muslim Indonesia dan menjadi satu-satunya pereka Malaysia yang mengambil bahagian di sana.

“Ia satu pendedahan yang sangat baik, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka menerima rekaan Malaysia namun saya mendapat pengiktirafan itu manakala busana yang saya pamerkan mendapat perhatian ramai.

Malah koleksi yang dipentaskan akan diletakkan di Kemang, Indonesia,” katanya terharu.

Menceritakan bagaimana boleh menimba nama di London, jelas Norish, sejak 2012 dia menetap di London kerana menyambung pengajian dalam bidang sarjana pengurusan perniagaan di Universiti Kingston, London. Selepas tamat pengajian dia menyambung pula dalam bidang doktor falsafah di universiti sama.

Dalam tempoh pengajian, Norish banyak membuat kajian mengenai perniagaan dan sasaran pelanggan. Kajian mengenai budaya turut dilakukan kerana memahami budaya sesebuah negara membolehkan seseorang itu diterima dalam masyarakat. Bukan itu saja dia juga banyak mengkaji mengenai jenama dan pereka yang mencipta warisan di seluruh dunia, antaranya H&M dan Chanel.

Selepas yakin dengan apa yang dipelajari, menerusi pengalaman dan pendidikan wanita ini memberanikan diri mengeluarkan jenama sendiri menggunakan label Norish Kareem Couture (NKC) Kuala Lumpur pada tahun lalu.

“Saya berpeluang menyertai pertunjukan fesyen Muslim Lifestyle di Olympia, London dengan memperkenalkan koleksi abaya dan tudung sedia dipakai. Ia menjadi tarikan disebabkan koleksi ini menampilkan rekaan sederhana namun memikat di sebalik rona segar,” katanya.

Jelas anak bongsu daripada tujuh beradik ini, ketika mula-mula ingin memasarkan busana rekaannya sendiri, dia menghadapi masalah dari segi mendapatkan fabrik. Selepas mendapatkan pandangan pereka lain, kos yang rendah serta jahitan berkualiti, Norish memilih mendapatkan fabrik dan jahitan dari negara Timur Tengah.

“Saya masih ingat koleksi pertama sempena musim panas berdasarkan rekaan corak bunga raya. Ia sebagai lambang bunga kebangsaan Malaysia dan saya juga ingin memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Selepas tamat pertunjukan fesyen ramai menghampiri saya dan menyatakan teruja dengan rekaan dihasilkan,” katanya.

Katanya, masyarakat pelbagai bangsa di London seperti Arab dan Pakistan menggemari abaya yang dihasilkan disebabkan pel­bagai warna. Malah kualiti fabrik yang ditampilkan mendapat pujian ramai.

“Daripada apa yang saya tahu, pelanggan di sana lebih memilih kualiti, mereka menilai daripada segenap ruang termasuk jahitan, potongan serta fabrik digunakan. Dari situ saya belajar sesuatu yang baru agar menjaga kualiti dalam setiap busana yang dihasilkan,” katanya yang menjadikan pereka Coco Chanel sebagai inspirasi.

Dilahirkan di Kuantan, Pahang, wanita ini bercita-cita besar ingin membawa nama Malaysia di mata dunia menerusi koleksi tradisional Muslimah. Sebab itu dia menggunakan jenama Norish Kareem Couture Kuala Lumpur agar ia kekal diingati setiap kali pembabitan dalam pertunjukan fesyen.

Bagi Norish, biarpun sering diundang menjayakan pertunjukan fesyen di London, dia berasakan masih banyak yang perlu dilakukan bagi memantapkan lagi jenama NKC. Walaupun ramai memberikan maklum balas positif, dia tidak mahu mendabik dada mengatakan apa yang dilakukan yang terbaik namun terus memperbaiki kekurangan diri.

“Walaupun dalam tempoh setahun saya menyertai pelbagai pertunjukan fesyen di London, Washington, Indonesia dan November lalu di Dubai untuk koleksi musim luruh dan sejuk, saya membayangkan ia rezeki yang sukar ditolak. Apatah lagi dalam setiap koleksi saya memasukkan elemen seni dan budaya dan apa yang saya pelajari menerusi pengajian sarjana dan doktor falsafah, ia menguatkan lagi kajian dalam setiap penghasilan busana agar disukai ramai.

“Fesyen bukan sekadar apa yang kita tahu, bukan juga menerusi majalah atau paparan Internet, tetapi pengalaman mampu mendewasakan untuk menjadikan rekaan lebih diterima ramai,” katanya.

Ujar Norish, berdasarkan pengalamannya dia perlu membezakan jenis rekaan dalam setiap negara yang diwakilinya. London misalnya hadir dengan rekaan lebih moden dan elegan namun tampil Muslimah, Indonesia pula sebagai negara yang pantas dalam rekaan sentiasa inginkan sesuatu yang berani manakala Dubai kekal dengan abaya dan jubah pelbagai warna.

Sekembalinya ke Malaysia, Norish turut menempatkan pakaian sedia dipakai di Rumoda, Bangi Sentral. Jika sebelum ini dia lebih memberikan tumpuan di luar negara, inilah masanya dia cuba memperkenalkan hasil rekaan untuk wanita di negara ini.

Terbaru NKC turut melancarkan koleksi perhiasan yang dijual menerusi dalam talian di bawah jenama NKC Jewellery. Ia sebagai percubaan bagi mempelbagaikan pilihan kepada wanita serta memberi peluang sesiapa saja yang ingin menjadi ejen. Perhiasan yang dilancarkan di Indonesia ini kolaborasi dengan jenama Itali.

Pada masa akan datang Norish berharap mampu mengembangkan jenama NKC di peringkat antarabangsa serta ‘menjual’ nama Malaysia dalam rekaan pakaian Muslimah.

“Inilah impian saya selain menamatkan pengajian doktor falsafah dalam masa dua tahun lagi. Dalam tempoh ini saya mahu membina nama di luar negara sebelum membawa pulang ke Malaysia,” katanya yang bergegas pulang ke London bagi meneruskan pengajiannya selepas dua minggu berada di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 6:03 AM