Fazrik Kamarudin


ALIRAN trafik di beberapa kawasan di lebuh raya utama mula perlahan setakat jam 9.30 pagi ini susulan pertambahan kenderaan yang mula meninggalkan ibu kota sempena sambutan Aidilfitri.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, trafik dilaporkan perlahan dari Rawang Selatan menuju ke Rawang, Rawang ke Sungai Buaya, Bidor ke Tapah, Tapah ke Gopeng dan Kuala Kangsar ke kawasan mendaki Bukit Berapit.

"Kesesakan sejauh 10 kilometer pula dilaporkan berlaku di antara Taiping ke Bukit Merah susulan kemalangan membabitkan sebuah lori tangki di Kilometer 194.9.

"Lori tangki itu dilaporkan terbalik di lorong kanan dan menghalang laluan, kerja-kerja pengalihan sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata keadaan trafik di semua laluan selatan pula masih terkawal dan lancar setakat ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata, aliran trafik mula perlahan selepas Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah.

"Selain itu, keadaan trafik perlahan juga dilaporkan berlaku di Bukit Tinggi menuju Lentang dan dari Stesen Minyak Shell Lentang menuju ke arah Bentong.

"Sementara laluan lain di Lebuhraya Pantai Timur masih terkawal dan lancar setakat ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun jumlah kenderaan yang dijangka meninggalkan ibu kota semakin bertambah, terdapat juga beberapa laluan di sekitar Lembah Klang yang masih sesak seperti biasa.

Katanya, antara kawasan dengan trafik perlahan adalah di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) perlahan dari Jalan Majlis menghala ke Kelana Jaya, dari Taman Megah ke SS2, Puchong Perdana ke Puchong Intan dan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), trafik perlahan dari Shah Alam menghala Subang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 10:31 AM
TRAFIK mula perlahan di kawasan selepas Plaza Rawat dan Rehat Rawang di Lebuhraya Utara Selatan arah ke utara. FOTO Zaharin Hayon
TRAFIK mula perlahan di kawasan selepas Plaza Rawat dan Rehat Rawang di Lebuhraya Utara Selatan arah ke utara. FOTO Zaharin Hayon