Catriona sewaktu bercuti ke Hong Kong bersama suami. FOTO MAHZIR MAT ISA/Instagram
Catriona sewaktu bercuti ke Hong Kong bersama suami. FOTO MAHZIR MAT ISA/Instagram
Ramlah Zainal


PELAKON Catriona Ross menepis dakwaan gosip dia sudah bercerai dengan suaminya seperti yang diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini, sudah dua kali rumah tangganya dan suami, Shaharudin Mokhtarudin dikaitkan gosip sedemikian.

"Saya tidak tahu dari mana pihak terbabit dapat cerita kami sudah bercerai?

"Saya tidak cepat melatah dengan gosip sedemikian kerana ia tidak benar dan kami lebih mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangga," katanya kepada Harian Metro.

Catriona, 37, berkata, dia percaya gosip itu mungkin disebarkan pihak yang sakit hati melihat kebahagiaan rumah tangganya dan suami.

"Saya sudah lama terbabit bidang seni. Bila saya berjaya menguruskan badan dan kembali aktif berlakon, saya tidak dapat mengelak bila nama dikaitkan dengan gosip rumah tangga yang bermasalah kerana bukan semua orang sukakan saya.

"Jika benar, dakwaan saya sudah bercerai, saya tidak akan keluar rumah dan menghadiri pelbagai majlis seperti sekarang. Lebih baik saya berkurung di rumah saja," katanya.

Apapun, kata Catriona, rumah tangganya dan suami juga bahagia setakat ini.

"Saya dan suami baru kembali dari bercuti bersama sama di Hong Kong pada penghujung Februari lalu.

"Kalau kami ada masalah rumah tangga takkanlah kami akan bercuti bersama ke luar negara?.

"Ia seperti percutian bulan madu sekali gus mengeratkan lagi ikatan rumah tangga sedia ada," katanya.

Kata Catriona, dia juga tidak suka menunjukkan kemesraan dengan suami di tempat awam.

"Saya tidak perlu bersikap romantik atau mencium suami depan orang ramai. Cukuplah kami bermesra dan romantik bila di rumah saja.

"Mungkin orang nampak kami renggang kerana suami sibuk dengan karier selaku pengarah. Manakala, saya sibuk sebagai pelakon di lokasi penggambaran," katanya.

Catriona berkahwin dengan Shaharuddin, 38, pada 2009. Perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak iaitu Sephia Rania, 7, Jamal Raess, 5, dan Edruce Riyadh, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 4:13 PM