ZOEY memotong kek sambil ditemani rakan artis seperti (dari kiri) Nabil Mahir, Sweet Farhana, Elfira dan Ahmad Ezzrin Loy.
ZOEY memotong kek sambil ditemani rakan artis seperti (dari kiri) Nabil Mahir, Sweet Farhana, Elfira dan Ahmad Ezzrin Loy.
BERSAMA ahli Zoey Rahman FC (ZRFC) yang mengatur majlis berkenaan.
BERSAMA ahli Zoey Rahman FC (ZRFC) yang mengatur majlis berkenaan.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Mengikut perancangan pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, 31, sepatutnya berkahwin hujung tahun lalu.

Namun, disebabkan beberapa masalah, Zoey dan kekasihnya terpaksa berpisah dan mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.

“Kami mula menjalin hubungan serius pada 2014 dan merancang berkahwin hujung tahun lalu. Namun, belum sempat nak merencana lebih, berlaku krisis dalam hubungan kami.

“Kata orang sehebat mana kita merancang, tapi kalau Tuhan sudah berkehendakkan yang lain, pasti jadi sebaliknya. Jadi, dia bukan jodoh saya,” katanya.

Menurut Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, bekas kekasihnya itu juga sudah membina kehidupan baru.

“Saya mengaku memang tertekan kalau asyik berfikir soal hubungan. Jadi bagi mengelakkan perkara itu, lebih baik saya fokus kepada kerjaya dan perniagaan.

“Selepas apa yang berlaku juga, saya mahu perhubungan itu datang sendiri. Kalau ada, adalah. Malah, tahun ini perkara itu tak termasuk pun dalam senarai azam saya,” katanya.

Tambah Zoey, Allah sudah mengatur jodoh yang terbaik untuk setiap umat-Nya. Cuma antara cepat atau lambat saja.

Joey yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-31 Ahad lalu berkata, dia tidak lagi terlalu memikirkan persoalan kahwin biarpun sering diaju perkara sama.

“Saya tak muak atau ambil kisah pun. Memang kadang-kadang terfikir juga kenapa sering ditanya soalan sama, tapi pada saya itu adalah lumrah bagi seorang berstatus bujang.

“Secara peribadi, umur 31 sekadar angka dan kini saya menuju ke peringkat lebih matang. Saya ambil contoh Fahrin Ahmad yang berkahwin di usia 35 tahun. Jadi, saya anggap itu tempoh matang bagi seseorang lelaki,” katanya.

Menurut Zoey lagi, bukan saja kalangan kawan, malah ibunya antara yang kerap bertanya soal kahwin.

Terdahulu Zoey ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya diadakan di sebuah hotel di ibu negara.

Menariknya, majlis ini dirancang tanpa pengetahuan Zoey oleh ahli kelab peminat Zoey Rahman FC (ZRFC).

Bertemakan ‘black & gold’, majlis dihadiri oleh 40 ahli ZRFC, pihak penaja, rakan artis dan media.

Majlis berkenaan turut dihadiri rakan artis seperti Elfira Loy, Ahmad Ezzrin Loy, Sweet Farhana dan Nabil Mahir.

Hijrah ke Indonesia?

Selain sibuk dengan kerjaya seni, Zoey yang kini bergelar ahli perniagaan dengan menampilkan produk penjagaan kulit mampu menarik nafas lega apabila rangkaian produknya itu semakin diterima baik.

“Alhamdulillah, tahun 2016 ini menjadi permulaan baik buat saya dan perniagaan dijalankan apabila produk itu bakal dipasarkan di Indonesia.

“Sebelum ini produk berkenaan dihantar menerusi kiriman pos, kini saya sudah mempunyai rakan perniagaan sekali gus bertindak sebagai ejen di sana. Insya-Allah saya akan lebih kerap ke sana,” katanya.

Permintaan ke atas produk itu kata Zoey dibuat menerusi tempahan dalam talian dan laman sosial Instagram miliknya sehingga berjaya mengumpul peminat di sana.

Sambil menyelam minum air, Zoey juga dalam langkah mengembangkan karier seninya di negara seberang itu.

“Sebelum ini, saya kerap juga dipanggil menjadi hos jemputan beberapa program hiburan di sana. Buat masa sekarang, sudah ada perbincangan dibuat dengan pihak mereka. Saya tak nak bercakap lebih lagi, tapi jika ada khabar gembira saya akan kongsikan,” katanya.

Justeru, Zoey juga bersedia untuk menetap di Jakarta jika diberi peluang berkarya di sana.

Terbaru Zoey akan muncul menerusi drama bersiri Dawai Asmara bagi slot Azalea di TV3.

Selian itu, Zoey juga sibuk menjalani penggambaran program Harta Dalam Stor terbitan Astro Ria bagi musim kedua. Dalam Program ini Zoey bergandingan bersama Fad Bochey.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 7:57 AM