PEMAIN  India  Chandanda Thimmaiah (kanan) diasak pemain China Jingcheng Huang.
PEMAIN India Chandanda Thimmaiah (kanan) diasak pemain China Jingcheng Huang.

Kuantan: India menepati ramalan mara ke separuh akhir apabila membelasah China 9-0 dalam dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016, di Stadium Hoki Indera Mahkota, di sini, semalam.

Pasukan India yang diletakkan selaku pilihan utama kejohanan tidak menunggu lama apabila Akashdeep Singh membuka tirai jaringan pada minit ke-9 menerusi gerakan padang.

Menyedari memerlukan tiga mata bagi mengiringi Malaysia selaku pasukan kedua melangkah ke separuh akhir India kemudian menggandakan jaringan menerusi Yousuf Affan pada minit ke-19 hasil gerakan solo dilakukannya.

Masih segar dengan kemenangan 3-2 menundukkan musuh tradisi Pakistan Ahad lalu, India terus menghukum kealpaan benteng pertahanan pasukan negara tembok besar itu apabila Kular Jasjit Singh mencetak nama selaku penjaring menerusi gol padang pada minit ke-22.

Biarpun sesekali China cuba menguji pertahanan India yang berada di kedudukan enam dunia namun segalanya serba tidak menjadi buat skuad kendalian Song Yi itu.

Sebaliknya India yang lebih gemar bermain secara menyerang memperoleh gol keempat mereka menerusi Rupinder Pal Singh hasil pukulan deras yang dilakukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25.

Skuad hoki India sekali lagi menghukum benteng pertahanan China apabila berjaya menyumbat dua gol dalam tempoh tiga minit permainan menerusi gerakan padang Delvinda Walmiki pada minit ke-34 dan Lalit Upadhyay minit ke-37.

Akashdeep dan Yousuf sekali lagi mencipta nama selaku penjaring apabila meledak gol pada minit ke-39 dan 40 untuk meletakkan India selesa di hadapan 8-0.

Gol terakhir India disumbangkan sekali lagi melalui Kular Jasjit menerusi gol padang pada minit ke-51.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, Pakistan dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan pasukan Jepun 4-3.

Gol pasukan Pakistan dijaringkan Muhammad Irfan minit ke-5, Muhammad Aleem Bilal (m-12, 52) dan Muhammad Rizwan (m-36).

Manakala gol pasukan Jepun disumbangkan Seren Tanaka (m-10), Kenta Tanaka (m-30) dan Hirotakan Zendana (m-54).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 12:05 PM