Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Belum masanya untuk pemain bawah 13 tahun negara (B-13) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menyertai skuad remaja kelab ternama di Eropah meskipun mereka kini dirisik ejen pemain selepas aksi cemerlang menjuarai kejohanan Ibercup Costa del Sol, Malaga Sepanyol kelmarin.

Menurut Pengarah Kanan Unit Sokongan NFDP Safirul Azli Abu Bakar, pemain muda negara mula mendapat perhatian pencari bakat kelab di Eropah bagaimanapun pihak pengurusan program itu mahu mengekalkan semua pemain untuk berlatih bersama.

“Ramai pihak bertemu saya untuk mengambil nombor telefon saya kerana menyatakan minat kepada pemain negara. Ada di antara ejen itu pernah mewakili pemain antarabangsa Sepanyol Santi Cazorla.

“Cukup untuk saya katakan bahawa kita mendapat tawaran daripada kelab-kelab ternama yang bermain dalam Liga Juara-Juara dan saya tidak mahu mendedahkan butirannya.

“Tapi seperti yang diperkatakan oleh Lim Teong Kim (Pengarah NFDP), kami lebih percaya dengan kemampuan sendiri untuk membentuk pemain kita sendiri di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di Malaga, Sepanyol.

Selain percaya dengan kemampuan untuk membentuk pemain berdasarkan program latihan dan pendedahan di pentas antarabangsa yang disusun, NFDP tidak mahu melepaskan pemain muda ke luar negara sesuka hati kerana bimbang episod lama berulang kembali di mana ada pemain yang tamat kontrak lebih awal.

“Kami akan menilai setiap tawaran dan pasti akan berbincang dengan ibu bapa pemain untuk memastikan tawaran itu benar-benar sah.

“Maksudnya kelab ini betul-betul mahukan mereka sebagai pemain tetap kelab. Kita tak mahu pisang berbuah dua kali, seperti yang terjadi kepada pemain negara sebelum ini,” kata Safirul.

Beliau menjelaskan, apabila Akademi Mokhtar Dahari dilengkapi segala kemudahan di Gambang, Pahang, semua pemain akan menyertai pemain daripada program elit di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di sana bagi meneruskan latihan.

Skuad B-13 NFDP kendalian Teong Kim kini sudah berada di Estoril, Portugal bagi menyertai Kejohanan Ibercup Estoril bermula esok hingga Ahad ini dan Safirul berkata, mereka tidak meletakkan sasaran tinggi sebaliknya hanya mahu melihat peningkatan prestasi pemain.

Di kejohanan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama kelab Segeltorps IF B-13 dari Sweden, Dragon Force Lisboa dan SC Linda-a-Velha (Portugal).

Dalam kejohanan Costa del Sol, skuad negara melakar sejarah menewaskan Sporting CP B-13 dari Portugal 2-1 pada final untuk muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 9:07 AM