AMIRIDZWAN (kiri) semakin serasi bersama Kelantan.
AMIRIDZWAN (kiri) semakin serasi bersama Kelantan.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas memilih untuk mengubah haluan bersama Kelantan pada jendela perpindahan pemain April lalu, Amiridzwan Taj Tajuddin sudah kembali menemui sentuhan lamanya apabila kerap menjadi pilihan Mohd Azraai Khor Abdullah untuk diturunkan.

Bekas tonggak pertahanan paling berpengaruh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengakui dirinya semakin menunjukkan peningkatan selepas mengalami beberapa episod duka ketika di ATM ekoran masalah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebelum ini.

Bagaimanapun, pemain yang lahir daripada Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu berkata, padang latihan yang digunakan skuad The Red Warriors (TRW) di Kota Bharu sedikit keras dan ianya kadang-kala mendatangkan rasa sakit-sakit di pergelangan kakinya selepas latihan.

“Setakat ini saya tak ada masalah apabila perlawanan cuma masa latihan itu ada sedikit masalah mungkin kerana padang latihan kami agak keras.

“Selepas selesai menjalani latihan saya ada rasa sikit-sikit sengal. Namun ia tidak begitu serius malah saya sedia untuk beraksi sekiranya disenaraikan,” katanya kepada Arena Metro.

Tambahnya lagi, hasil latihan berterusan di bawah kendalian Azraai banyak mengubah corak permainannya menjadi lebih sempurna disamping keserasian bersama barisan pertahanan lain bertambah mantap.

“Mungkin kerana banyak latihan yang kami lakukan dan saya pun sudah dua bulan bersama pasukan kelantan. Latihan dari hari ke hari menyebabkan kombinasi dan keserasian kami itu makin.

“Saya rasa tidak mempunyai sebarang masalah untuk beraksi dan digandingkan bersama rakan-rakan lain seperti  Zamani (Norhafiz Zamani Misbah), McKain (Jonathan McKain) mahupun Farisham (Mohd Farisham Ismail),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:44 AM