NORAINI sibuk menyusun kerepek dan pelbagai biskut raya. FOTO Bernama
NORAINI sibuk menyusun kerepek dan pelbagai biskut raya. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: “Emak, adik hendak baju raya,”. Kelu lidah wanita ini, sebaik mendengar rintihan dan permintaan anak-anaknya yang ingin bergaya dengan baju baru pada 1 Syawal nanti. Tetapi, apakan daya Noraini Abdul Rahman, 31, kerana beliau memang tidak mampu membeli walau sehelai baju baru pun buat empat orang anaknya.

Sudah tiga tahun, anak-anak wanita ini langsung tidak dapat merasai kegembiraan berhari raya seperti rakan-rakan yang sebaya umur dengan permata hati kesayangannya itu.

Sekadar memendam rasa impian memakai baju raya dan kasut baru, nikmat berbuka puasa anak-anak ini juga tidak sesempurna seperti mereka yang lain. Pada ketika orang enak menjamu selera dengan pelbagai juadah, Noraini dan empat orang anaknya ada kala terpaksa berbuka puasa berlaukkan garam sahaja.

Semuanya, gara-gara mengikut suaminya seorang warga Indonesia tiga tahun lepas dan kemudian ditinggalkan begitu sahaja di sebuah perkampungan di Batam tanpa ada sebarang nafkah sekali pun.

Keperitan hidup dihadapi apatah lagi selama itulah anak-anaknya tidak dapat bersekolah, wanita kelahiran Johor Bahru ini nekad kembali ke Malaysia biarpun diugut cerai talak tiga sekiranya meninggalkan rumah suami.

“Yang penting bagi saya, adalah melihat anak-anak mempunyai pelajaran selain mahu mereka merasai kembali nikmat berhari raya seperti anak-anak lain,” katanya.

TIDUR DI MASJID

Terpaksa meredah jalan haram menggunakan tongkang, dia yang lebih dikenali sebagai Ani bersama empat cahaya matanya menggadai nyawa untuk sampai di satu kawasan di Johor pada April lepas.

Niat di hati untuk memohon teduh kasih di rumah ibu bapanya bagaimanapun tidak kesampaian apabila mereka enggan menerimanya kembali disebabkan tindakannya mengahwini warga Indonesia itu.

Langsung tiada arah tujuan, anak beranak ini terpaksa menumpang di beberapa masjid sehinggalah akhirnya dibawa oleh seorang kakak angkatnya ke Rumah Titian Kaseh (RTK) yang terletak berdekatan Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Di rumah perlindungan yang menempatkan anak-anak tidak bernasib baik, warga emas dan ibu-ibu tunggal inilah, Ani mula mendapat cahaya kehidupan. Tidak hanya diberi tempat penginapan, anak-anak dapat bersekolah kembali.

Tetapi, apa yang lebih penting kepadanya adalah pengetahuan, pendedahan kemahiran yang diperolehinya di RTK akan menjadi bekalan bermakna apabila memulakan kehidupan sendiri nanti.

“Saya seronok di sini kerana kami diajar memasak, membuat aksesori wanita seperti kerongsang, gelang, menjahit dan membuat kuih-muih, kerepek serta pelbagai jenis biskut,” katanya.

BAJU RAYA

Kemahiran dipelajarinya itu, membolehkan Ani bersama-sama dengan ibu tunggal lain menggunakan kemahiran yang ditimba untuk menjana pendapatan termasuk dengan menjual biskut-biskut raya sepanjang Ramadan ini.

Selain menampung kos operasi rumah kebajikan ini, Ani yang akan diberi elaun berdasarkan hasil jualan barangan buatannya ada mempunyai perancangan istimewa untuk anak-anaknya itu.

“Anak-anak ada cakap mereka hendak baju dan seluar raya serta mengajak saya membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bersama mereka.

“Dengan elaun yang diterima hasil jualan kemahiran buat biskut raya ini, saya hendak gunakannya untuk beli baju baru dan kasut buat mereka. Sudah lama, anak-anak tidak bergaya,” katanya yang begitu teruja.

Bagi wanita ini, biarpun mengetahui anak-anaknya tidak terkecuali daripada menerima sumbangan baju raya namun Ani masih tetap mahu mereka memakai pakaian yang dibeli hasil pendapatannya sendiri.

Lagipun, sudah lama ibu kepada tiga anak lelaki dan seorang perempuan ini memasang hasrat untuk membeli-belah persiapan raya bersama-sama dengan mereka.

BERDIKARI

Rutin Ani bersama ibu tunggal lain membuat biskut dan kerepek bermula selepas mereka melaksanakan tugas wajib yang telah ditetapkan seperti mengemas, mencuci pakaian dan memasak.

Kebiasaannya sepanjang Ramadan bermula tengah hari mereka semua saling bekerjasama untuk membuat biskut-biskut itu.

“Yang pandai akan mengajar yang tidak tahu buat. Langsung tidak ada perasaan hasad dengki atau kedekut ilmu dan tidak mahu melihat ada yang berjaya.

“Segala petua dikongsi. Contohnya, kenapa tepung itu keras, mengapa bila dibentuk tidak menjadi dan sebagainya. Kami bagaikan adik beradik,” katanya.

Menurut Ani, kehidupan di sini telah banyak membantunya mengajar banyak perkara termasuklah agama. Biarpun gembira menikmati kehidupan lebih teratur, wanita ini juga mempunyai impian untuk hidup berdikari bersama anak-anaknya satu hari nanti.

“Elaun daripada penjualan biskut raya, kerepek dan memasak di gerai akan saya simpan untuk bekalan memulakan kehidupan di luar sana,” katanya.

BANTU

Sementara itu lima tahun menetap di RTK, wanita yang hanya dikenali sebagai Zara antara yang berjaya hidup berdikari hasil pembelajaran diperolehinya sepanjang menetap di RTK.

Pengalaman dan kemahiran yang ditimbanya di situ membolehkan ibu kepada lima orang anak ini memulakan perniagaan sendiri menjual nasi kukus ayam goreng berempah di Taman Tasik Titiwangsa. Menariknya, hasil jualan itu telah membolehkannya menyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Saya langsung tidak tahu macam mana hendak buat nasi kukus. Tetapi, saya telah diajar bagaimana untuk menyediakan rempah dan gulai kari, dua perkara penting nasi kukus ayam goreng berempah,” katanya.

Walaupun telah mempunyai bisnes sendiri, Zara tidak melupakan jasa rumah kebajikan itu dan kawan-kawannya yang masih lagi menetap di RTK. Sering kali meluangkan masa mengunjungi rumah itu, wanita ini turut sama membantu mereka membuat biskut dan makanan sejuk beku.

“Apabila ada masa, saya juga akan berkongsi ilmu masakan dengan mereka. Selain itu, ketika inilah kami dapat bertanya khabar dan cerita,” ujarnya.

SATU ORANG SATU PRODUK

Mengulas mengenai peranan rumah perlindungan itu, Pengasas dan Pengetua RTK, Sharifah Adlan berkata, kesemua ibu tunggal yang menghuni di sini wajib mempelajari apa-apa sahaja kemahiran sebagai persediaan masa depan mereka.

Tidak ada pengecualian, projek ini yang telah berjalan selama 19 tahun telah banyak membantu penghuni ibu tunggal sebelum ini untuk hidup berdikari.

Selain diajar membuat biskut, kerepek, menjahit dan produk kraftangan, ibu-ibu tunggal ini juga diberi pendedahan untuk berani mengambil tempahan katering daripada badan-badan korporat mahupun pihak swasta.

Dengan adanya hasil penjualan ini yang tujuan utamanya bagi menyara kos operasi RTK, elaun yang diperolehi oleh ibu-ibu tunggal ini boleh dijadikan simpanan dan digunakan untuk perbelanjaan hari raya.

“Ini bukan projek Ramadan tetapi setiap hari bagi menjana pendapatan. Tidak dinafikan, kebanyakan ibu tunggal yang baru di sini tidak tahu memasak, membuat kuih, dan pelbagai kemahiran lain.

“Mereka dibantu. Setiap satu produk, ada ketuanya. Macam Mak Zizah jaga produk makanan sejuk beku dan beliaulah yang akan mengajar mereka,” katanya.

Antara produk dihasilkan, muruku, popia serunding simpul kasih, kuih siput, tempeyek dan pelbagai lagi yang dijual di perkarangan kawasan rumah kebajikan ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 5:58 AM