Sri Ayu Kartika Amri dan Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: "Terima kasih Harian Metro kerana menyantuni kami dan memberi peluang anak-anak merasa sendiri pengalaman membeli baju raya yang mereka sukai," kata pengasas Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Mariamah Miskan, 37.

Lebih mesra disapa sebagai Ibu, dia melahirkan rasa terharu dan teruja kerana Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu terpilih menerima sumbangan dan bantuan sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) ulang tahun ke-32 Harian Metro.

Menurutnya, program dianjurkan oleh Harian Metro itu memberi sinar bahagia buat anak yatim dan golongan asnaf di rumah kebajikan itu untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama.

"Akhirnya, anak-anak berpeluang untuk membeli sendiri jenis pakaian dan warna yang mereka mahu.

"Biasanya mereka hanya dapat bantuan yang sudah siap dibeli daripada mana-mana pihak, jadi mereka tak dapat memilih warna yang mereka sendiri hendak," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Mariamah bersyukur melalui program seperti ini anak-anaknya diberikan peluang untuk membeli baju raya yang mempunyai sama warna bersama keluarga mereka.

Dia berharap agar bantuan yang diberikan Harian Metro akan berterusan setiap tahun jika bukan bersama Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh mungkin bersama rumah kebajikan lain.

Penghuni Rumah Qaseh Ibu, Ayu Anisyah Mohd Ezwan, 15, berkata, dia bersyukur kerana diraikan bersama rakan-rakan lain dan dapat membeli pakaian yang diidamkan.

"Saya berasa sangat teruja ketika Ibu memberitahu kami mengenai program ini dan seronok sangat sebab dapat baju raya lengkap daripada tudung sehingga kasut raya.

"Selain pakaian baru, saya juga dapat duit raya dan duit ini saya akan simpan untuk keperluan pembelajaran nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 3:15 PM
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit (tiga dari kiri) bersama Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad membantu penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu memilih baju raya. FOTO Aswadi Alias
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit (tiga dari kiri) bersama Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad membantu penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu memilih baju raya. FOTO Aswadi Alias