FAIL Sairien Nafis
FAIL Sairien Nafis

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan hari ini Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (SPA-KWSP) bermula 1 Julai, 2015.

“Dengan penyenaraian ASB2, terdapat sembilan dana yang ditawarkan di bawah SPA-KWSP yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB),” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Mohamad Nasir Ab Latif, dalam satu kenyataan.

“Ahli-ahli yang ingin melabur dalam dana ASB2 ini boleh berbuat demikian melalui ASNB, yang merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad,” katanya.

Ahli-ahli boleh memindahkan sebahagian simpanan dalam Akaun 1 untuk pelaburan dana unit amanah melalui 24 Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan di bawah SPA-KWSP, seterusnya memberikan pilihan kepada ahli untuk menambah simpanan persaraan mereka.

Di bawah skim ini, ahli-ahli boleh memindahkan simpanan mereka tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas.

Mohamad Nasir juga menggalakkan ahli-ahli menggunakan sepenuhnya kemudahan Portal Informasi SPA-KWSP untuk mendapatkan maklumat tentang dana-dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA-KWSP serta IPD yang menguruskan unit amanah tersebut.

Portal itu yang dilancarkan pada April 2015, merupakan inisiatif KWSP untuk ahli membuat penyelidikan sebelum mengambil sebarang keputusan pelaburan.

Maklumat yang disediakan dalam portal itu tidak mengandungi sebarang bentuk nasihat pelaburan atau syor oleh KWSP terhadap mana-mana dana unit amanah mahupun IPD. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 10:03 PM