Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Portal Informasi Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP) bertujuan untuk menyediakan maklumat berkaitan dana-dana unit amanah yang ditawarkan di bawah skim itu dan Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang menguruskannya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Mohamad Nasir Ab Latif berkata, portal itu adalah inisiatif oleh KWSP untuk menyediakan kepada ahli lebih banyak maklumat untuk membuat keputusan yang termaklum.

“SPA-KWSP ini memberikan pilihan kepada ahli untuk memindahkan sebahagian simpanan mereka secara suka rela dari Akaun 1 untuk tujuan pelaburan, seterusnya memberi peluang untuk menambahkan simpanan persaraan mereka.

“Di bawah skim ini, ahli boleh memindahkan simpanan mereka tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Beliau berkata, portal itu boleh diakses oleh ahli melalui i-Akaun mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran dan terdapat 333 dana unit amanah yang diuruskan oleh 24 IPD di bawah SPA-KWSP.

Bagaimanapun, bagi 2015/2016, hanya 216 dana unit amanah yang layak ditawarkan dan tiada jaminan bahawa setiap pelaburan ahli akan sentiasa menguntungkan kerana prestasi dana-dana unit amanah yang lalu tidak menjamin prestasi di masa akan datang.

“Ahli disarankan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat lanjut daripada penasihat atau perancang kewangan yang layak sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil bahagian dalam pelaburan SPA-KWSP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:20 AM