GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syarifah Dayana Syed Bakri


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan kadar pemindahan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk pelaburan melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah kepada 30 peratus berbanding 20 peratus sebelum ini.

Ia meliputi IPD dan dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuatkuasa dari 1 Mac 2018 hingga 28 Februari 2019.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, pihaknya memberikan fleksibiliti untuk mempelbagaikan portfolio persaraan dan potensi untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli.

“Ahli yang memenuhi kriteria Simpanan Asas layak memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 1 kepada IPD pilihan mereka.

“Jumlah yang layak dipindahkan telah dinaikkan kepada tidak melebihi 30 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi memastikan ahli mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM228,000 apabila mencapai umur 55 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 9:17 PM