Agensi

London: Liverpool berjaya mengikat penyerang Roberto Firmino (gambar) dari Hoffenheim menerusi perjanjian lima tahun dengan yuran sekitar £29 juta (RM171 juta).

Bagaimanapun kehadiran pemain berusia 23 tahun itu bergantung kepada pemeriksaan perubatan, yang akan diadakan selepas dia kembali dari Chile, yang mana dia sedang bermain buat Brazil pada Copa America.

Firmino, yang menjaringkan 47 gol dalam 151 perlawanan bersama Hoffenheim, muncul pemain kedua termahal Reds.

Kelab Anfield itu menjadikan Andy Carroll sebagai pembelian termahal apabila dia menyertai mereka dengan harga £35 juta (RM207 juta) dari Newcastle pada 2011.

Mereka turut membayar Southampton £25 juta (RM148 juta) bagi mendapatkan khidmat Adam Lallana pada 2014 dan sudah membeli penyerang Burnley, Danny Ings, penjaga gol Adam Bogdan, pertahanan Joe Gomez serta pemain tengah James Milner pada musim panas kali ini.

Reds setakat ini sudah menolak dua tawaran daripada Manchester City terhadap penyerang England, Raheem Sterling.

Firmino, yang menghabiskan dua setengah musim terakhir di Bundesliga, menjaringkan gol ketika Brazil mengatasi Venezuela 2-1 pada aksi Copa America, Isnin lalu.

Dengan ketiadaan Neymar, yang digantung hingga tamat kejohanan, Firmino dan Philippe Coutinho, yang juga pemain Liverpool, dijangka bermula sekali lagi dalam kesebelasan utama bagi pertemuan suku akhir menentang Paraguay, pagi Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:52 AM