FIRMINO (kiri) menjadi tonggak penting Reds sebelum ini. FOTO AFP
FIRMINO (kiri) menjadi tonggak penting Reds sebelum ini. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan Roberto Firmino mempunyai peranan lebih besar untuk pasukan berbanding menjaringkan gol.

Kedudukan Firmino mula menjadi tumpuan selepas prestasi cemerlang dipamerkan pemain yang baru ditandatangani kelab itu, Diogo Jota yang sudah menjaringkan tujuh gol daripada 10 perlawanan.

"Dia seringkali melakukan perubahan," kata Klopp yang menambah beliau 'berasa malu' jika menyenaraikan kualiti yang ada pada pemain Brazil berusia 29 tahun itu.

Liverpool menandatangani Firmino dari Hoffenheim pada 2015 menerusi kontrak lima tahun dengan yuran perpindahan sekitar £29 juta (RM157.6 juta).

Dia sudah menjaringkan 58 gol di Liga Perdana sepanjang 182 penampilan.

Firmino bertindak mengetuai tekanan di bahagian serangan selain mencipta peluang untuk pemain seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane yang menyaksikan kejayaan mereka memenangi kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

"Saya tidak perlu memperkatakan apa-apa mengenai Firmino dan betapa pentingnya dia kepada kami. Saya tidak mahu membuang masa membincangkan perkara itu.

"Dia sering menjadi watak penting perubahan taktikal dalam pasukan meskipun kadangkala tidak menjaringkan gol. Jadi amat memalukan untuk saya menyenaraikan kualiti yang ada pada Firmino," kata Klopp.

Liverpool akan berkunjung ke Manchester City awal pagi Isnin untuk membalas dendam kekalahan 0-4 pada Julai lalu yang hadir sehari selepas mereka mengesahkan kejuaraan liga sejak 1990.

The Reds menamatkan saingan musim lalu di tangga teratas dengan kelebihan 18 mata berbanding City.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 9:05 AM