Bangkok: Polis Thai semalam berkata, mereka bertindak telus dalam menyelesaikan siasatan berkait kes penyeludupan manusia dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terbabit.

Bercakap kepada wartawan, Timbalan Ketua Polis Negara Thai Aek Angsananont mengumumkan secara rasmi bahawa pihaknya menamatkan siasatan terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa pertubuhan hak asasi manusia mempersoalkan sama ada siasatan itu berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

Thailand mula bertindak terhadap rangkaian penyeludupan pendatang bulan lalu selepas menemui 30 mayat di sebuah kem di selatan negara itu.

Seramai 56 suspek, termasuk ahli politik, polis, pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan seorang tentera berpangkat jeneral ditahan hasil siasatan itu, sementara waran tangkap dikeluarkan ke atas 63 orang.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi, termasuk Human Rights Watch (HRW) berkata, hasil siasatan itu tidak akan menyelesaikan kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia di Asia Tenggara.

“Kemungkinan besar siasatan itu tidak memberi sebarang kesan, lebih-lebih lagi ia dilakukan untuk mengelak tekanan antarabangsa,” kata Sunai Phasuk, penyelidik HRW.

Dia merujuk kepada kedudukan Thailand dalam senarai tahunan Laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Tahun lalu, negara itu tersenarai di kategori terendah atau Tier 3.

Bangkok berharap kedudukannya bertambah baik apabila Amerika Syarikat mengeluarkan senarai baru itu pertengahan Julai depan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:05 AM