POLIS Iraq membedil mortar, menyasarkan kawasan yang dikuasai Daish di selatan Mosul, semalam.  - Reuters
POLIS Iraq membedil mortar, menyasarkan kawasan yang dikuasai Daish di selatan Mosul, semalam. - Reuters
Agensi

Baghdad: Pasukan keselamatan Iraq didakwa mendera dan membunuh orang awam di selatan Mosul, menurut kumpulan hak asasi manusia, laporan pertama seumpamanya berkait dengan kempen yang disokong Amerika Syarikat untuk menawan semula bandar raya itu daripada Daish.

Amnesty International berkata, kira-kira enam orang ditemui mati bulan lalu di daerah kecil Shura dan Qayyara selepas mereka disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan berkenaan.

“Sekumpulan lelaki berpakaian seragam polis melakukan pelbagai pembunuhan, menahan dan membunuh secara rambang penduduk di selatan Mosul,” kata Lynn Maalouf, timbalan pengarah kaji selidik di pejabat Amnesty di Beirut.

Sebuah lagi kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) berkata, sekurang-kurangnya 37 lelaki yang disyaki mempunyai hubungan dengan Daish ditahan tentera Iraq dan Kurdis di sekatan jalan raya, kampung, pusat saringan dan kem pelarian di sekitar Mosul dan Hawija.

Anggota keluarga berkata, mereka tidak tahu di mana kebanyakan lelaki itu ditahan selepas gagal menghubungi mereka.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan itu, sebaliknya berkata, pasukan keselamatan Iraq menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Jurucakap kerajaan tempatan Kurdis juga menyangkal laporan HRW.

“Kami tidak menahan sesiapa di kawasan yang tidak diketahui,” kata Dindar Zebari.

Operasi menawan semula Mosul membabitkan 100,000 anggota tentera dan polis Iraq dengan dibantu pasukan keselamatan Kurdis dan militan Syiah.

Operasi berkenaan yang turut dibantu oleh serangan udara Amerika Syarikat memasuki minggu keempat. Bagaimanapun, belum ada kejayaan besar dicapai.

Amnesty dalam laporannya mendedahkan beberapa kejadian yang berlaku sekitar minggu lalu yang membabitkan sekumpulan lelaki dipukul dengan kabel serta senapang sebelum mereka ditembak mati.

Dalam satu kes, seorang lelaki dipenggal, katanya.

Ia bimbang kemungkinan kejadian seperti itu akan berterusan apabila pasukan keselamatan Iraq, khususnya militan Syiah, memasuki kampung dan bandar lain ketika mereka mara untuk menguasai Mosul yang majoriti penduduknya Sunni. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 11:08 AM