ANGGOTA asal Bon Jovi (dari kiri), Jon Bon Jovi, Richie Sambora, Tico Torres dan David Bryan.
ANGGOTA asal Bon Jovi (dari kiri), Jon Bon Jovi, Richie Sambora, Tico Torres dan David Bryan.
Susunan Oleh Michelle Gun


Selepas 20 tahun, Bon Jovi kembali ke Malaysia untuk bertemu peminat menerusi konsert yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 September ini.

Kini dianggotai tiga anggota asalnya iaitu Jon Bon Jovi (penyanyi), David Bryan (keyboard dan piano) dan Tico Torres (dram), mereka turut disertai pemain gitar Phil X menggantikan Richie Sambora.

Pada 4 Mei 1995, Bon Jovi mengadakan konsert di Stadium Shah Alam.

Biarpun anggota asal kumpulan itu sudah mencecah usia 50-an, mereka masih aktif dalam industri muzik sejak ditubuhkan pada 1983, terutama Jon yang bakal mengadakan konsert solo bulan depan.

Muncul dengan album studio album ke-13 berjudul What About Now pada 2013, Bon Jovi baru-baru ini mengumumkan kini sibuk dengan rakaman album baru yang akan dikeluarkan tahun depan.

Dalam kesibukan me­nguruskan jadual konsert mereka yang padat, kumpulan itu terlebih dulu muncul dengan single baru berjudul Beautiful Day.

Single itu dimuatkan dalam koleksi album filem Finding Neverland yang turut menyenaraikan lagu daripada beberapa penya­nyi hebat seperti Christina Aguilera dan John Legend.

Mengenai perkembangan terbaru pembikinan album studio baru Bon Jovi, anggota kumpulan itu dikhabarkan meminta anggota asal Richie Sambora untuk menyertai mereka lagi.

Pada satu sesi temu bual baru-baru ini, Bon Jovi berkata, anggota kumpulan itu menghabiskan hampir sehari dalam studio menyiapkan rakaman album baru.

“Inspirasi menghasilkan karya boleh datang dengan hanya membaca surat khabar,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Sambora berkata, dia kini sibuk dengan projek solo bersama bekas pemain gitar penyanyi legenda Michael Jackson, Orianthi.

“Sudah banyak lokasi saya dan Bon Jovi menjelajah untuk mengadakan persembahan.

“Sepanjang bersama Bon Jovi, kami banyak menghasilkan karya dan pada masa sama bekerjasama dengan artis lain. Kami hanya mengenali antara satu sama lain sebagai artis, pemuzik dan membuat konsert,” katanya.

Ujar pemain gitar berusia 55 tahun itu, dia tiada perancangan untuk kembali menyertai Bon Jovi selepas hampir 30 tahun bersama kumpulan itu.

“Saya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang muzik secara solo. Bukan mudah untuk mengekalkan semua anggota band selama 30 tahun dan kami sudah berusaha,” katanya.

Sebelum ini, wujud khabar angin mengatakan Sambora bermain gitar dalam single Beautiful Day, namun spekulasi itu berakhir selepas John Shanks adalah pemain itu.

Menjadi antara kumpulan rock paling laris di dunia, Bon Jovi terkenal menerusi beberapa lagu hit iaitu It’s My Life, Livin’ On A Prayer , Never Say Good­bye dan You Give Love A Bad Name.

Selain Malaysia, Bon Jovi juga akan menjelajah beberapa negara iaitu Singapura, Jakarta, Shanghai, Macau dan Abu Dhabi sebelum mengakhiri konsert mereka di Tel Aviv, Israel pada 3 Oktober ini.

Tiket konsert Bon Jovi dijual pada harga RM168 hing­ga RM888 dan boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 10:30 AM