ONEREPUBLIC minta peminat cadangkan lagu untuk konsert di ibu kota pada 25 April ini.
ONEREPUBLIC minta peminat cadangkan lagu untuk konsert di ibu kota pada 25 April ini.
Michelle Gun


Selepas lima tahun, kumpulan pop rock terkenal Amerika Syarikat, OneRepublic sudah tidak sabar melakukan jejak kasih dengan peminat di negara ini.

Kumpulan dianggotai Ryan Tedder selaku vokalis, Zach Filkins (gitar), Drew Brown (gitar), Eddie Fisher (dram) dan Brent Kutzle (bass) bakal mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Dalam temu bual bersama RAP baru-baru ini, Brown berkata, anggota kumpulan itu mahu mengambil kesempatan berada di Kuala Lumpur untuk berehat.

“Setiap kali mengadakan konsert jelajah, kami pasti mencari masa untuk bersantai dan melepak. Bagi kunjungan di Kuala Lumpur nanti, mungkin kami akan membeli-belah atau mengunjungi taman tema air. Sudah tentu kami enggan melepaskan peluang mencuba makanan tempatan,” katanya.

Pemain gitar berusia 34 tahun itu berkata, dia dan anggota lain sedih tidak berpeluang mengadakan persembahan di negara ini tahun lalu.

“Oleh sebab itu, kami akan pastikan memberi persembahan sukar dilupakan kepada peminat. Selain lagu hit dan daripada album baru, kami akan mendendangkan lagu yang belum sempat dipersembahkan di konsert lalu,” katanya.

Bagi memberi persembahan terbaik, Brown berkata, OneRepublic meminta cadangan peminat menyenaraikan lagu untuk konsert di ibu kota menerusi media sosial.

Walaupun lebih setahun tidak mengeluarkan album baru, OneRepublic tidak henti menghasilkan muzik baru.

Tahun lalu saja, mereka sudah memperkenalkan empat single iaitu No Vacancy dan Truth to Power.

Mereka turut bekerjasama dengan produser muzik terkenal Seeb untuk menghasilkan single Rich Love serta Kygo menerusi lagu Stranger Things.

Bercerita mengenai kolaborasi dengan dua produser hebat itu, Brown berkata, gabungan muzik elektronik dan pop yang dihasilkan Seeb dan Kygo menakjubkan.

“Mereka berbakat kerana memberi sentuhan segar dalam lagu kami. Segala urusan dan proses menghasilkan lagu itu dilakukan menerusi e-mel. Kami bertuah dapat berkolaborasi dengan mereka,” katanya.

Menurut Brown, OneRepublic akan terus memperkenalkan single baru dari semasa ke semasa selain bekerjasama dengan artis lain.

“Ada beberapa artis yang kami minat untuk kerjasama. Kami sudah mempunyai perancangan menulis single seterusnya, mungkin selepas tamat konsert jelajah Asia,” katanya.

OneRepublic sudah menghasilkan empat album iaitu Dreaming Out Loud pada 2007, Waking Up (2009), Native (2013) dan Oh My My (2016).

Menerusi konsert mereka pada 2013, kumpulan itu menarik lebih 5,000 penonton.

Tiket menyaksikan konsert OneRepublic berharga RM178 hingga RM668 boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 12:03 PM