JON Bon Jovi.
JON Bon Jovi.
BON JOVI dengan anggota asal Jon Bon Jovi (tengah), David Bryan (kanan) dan Tico Torres.
BON JOVI dengan anggota asal Jon Bon Jovi (tengah), David Bryan (kanan) dan Tico Torres.
Susunan Riadz Radzi


Album terbaru Bon Jovi berjudul Burning Bridges yang dipasarkan pada 21 Ogos lalu berjaya menduduki tangga 13 carta Billboard 200 minggu ini.

Album studio ke-13 mereka yang baru memasuki carta minggu ini terus melonjak ke tangga 13 sekali gus menunjukkan band asal New Jersey di New York, Amerika Syarikat (AS) itu bakal mengulangi sejarah kegemilangan mereka.

Secara keseluruhannya, 12 daripada 13 album mereka berjaya memasuki kategori ‘Top 10’ termasuk lima daripadanya menduduki tangga pertama.

Dalam carta Billboard Hot 100 Singles pula, sebanyak 25 lagu mereka pernah tersenarai termasuk empat berjaya menakluk carta seperti You Give Love a Bad Name, Livin’ On a Prayer, Bad Medicine dan I’ll Be There For You.

Album Burning Bridges terbitan John Shanks adalah album pertama mereka tanpa pemain gitar Richie Sambora yang meninggalkan Bon Jovi pada 2013.

Kini, hanya tiga anggota asal masih setia bersama Bon Jovi iaitu Jon Bon Jovi (penyanyi), David Bryan (keyboard dan piano) dan Tico Torres (dram), manakala Phil X menggantikan Sambora.

Pemain bass Alec John Such meninggalkan Bon Jovi pada 1994 dan digantikan dengan Hugh McDonald.

Sejak album pertama pada 1984, semua album mereka terjual sebanyak 21.8 juta unit di AS saja.

Dalam pada itu, peminat Bon Jovi di negara ini pastinya tidak sabar menunggu kehadiran mereka yang bakal mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 September ini.

Ini adalah konsert kedua Bon Jovi di negara ini selepas di Stadium Shah Alam pada 4 Mei 1995.

Walaupun tanpa Sambora, mereka dijangka tampil dengan persembahan hebat dengan lagu hit sejak album sulung.

Sementara itu, Sambora dalam kenyataannya baru-baru ini menafikan dia bakal menyertai semula Bon Jovi.

Kata pemain gitar berusia 55 tahun itu, dia tiada perancangan untuk kembali menyertai Bon Jovi selepas hampir 30 tahun bersama kumpulan itu.

“Saya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang muzik secara solo. Bukan mudah untuk mengekalkan semua anggota band selama 30 tahun dan kami sudah berusaha,” katanya.

Selain Kuala Lumpur, Bon Jovi juga akan mengadakan konsert di Singapura, Jakarta, Shanghai, Macau dan Abu Dhabi sebelum menamatkannya di Tel Aviv, Israel pada 3 Oktober ini.

Tiket konsert Bon Jovi dijual pada harga RM168 hingga RM888 dan boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 9:15 AM