Manila: Pihak berkuasa maritim Filipina membeli hampir 100 bot peronda baru bagi membendung masalah aktiviti penangkapan ikan secara haram, kata pegawai semalam.

Pembelian 98 bot peronda baru itu adalah penambahan kepada 20 bot milik Biro Sumber Perikanan dan Akuatik sebagai tindak balas terhadap aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh nelayan China dan Taiwan.

Ketua Biro Sumber Perikanan dan Akuatik, Asis Perez berkata, pihaknya menempah 71 bot jarak pendek untuk mengawal perairan berhampiran pantai.

“Kami juga menempah 27 bot lagi yang mampu beroperasi lebih jauh di tengah laut. Bot berkenaan akan diserahkan kepada kami tahun ini,” katanya.

Katanya, penambahan aset baru itu melengkapkan mandat biro berkenaan untuk mengawal kawasan perairan negara itu.

“Filipina mempunyai kawasan laut lapan kali lebih luas berbanding daratannya.

“Kami mempunyai persisiran pantai sepanjang 36,000 kilometer dan lebih 7,100 pulau,” jelasnya.

Menurutnya, jumlah aset baru itu sebenarnya masih belum mencukupi untuk mengawasi perairan negara itu.

“Sebenarnya kami memerlukan lebih banyak bot, tetapi ini sahaja yang kami mampu,” katanya.

Tambahnya, agensi itu memohon dana daripada kerajaan untuk membeli 10 lagi kapal yang lebih besar yang boleh meronda di tengah laut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:55 AM