Selepas memandu antara 10 hingga 15 minit, enjin kereta saya akan mati tiba-tiba.

Keadaan enjin mati itu lebih cepat berlaku sekiranya panas atau menghidupkan penyaman udara. Ia membuatkan saya terpaksa menunggu kira-kira 10 sehingga 15 minit untuk menyejukkan enjin sebelum ia boleh dihidupkan semula.

HAIRY

Kuala Lumpur.

Daripada gambaran diberikan, kemungkinan kereta itu mengalami masalah sistem nyalaan.

Ia membabitkan gegelung dikuasai tenaga elektrik 12 Voltan (V) yang melintasi antara dua elektrod pada palam pencucuh sebagai percikan api.

Gegelung utama itu ada dalam pelbagai bentuk (lazimnya bulat) dan mempunyai satu kabel utama yang bersambung ke bahagian tengah penutup pengagih.

Periksa gegelung utama palam pencucuh. Sekiranya rosak, ia akan panas hingga tidak mampu dipegang.

Menukar gegelung utama mampu menyelesaikan masalah dan boleh dibuat sendiri serta tidak merumitkan asalkan menggunakan alat ganti tulen.

Jika ragu, ambil gambar dulu sebelum membukanya. Gegelung yang rosak itu mampu membuat anda tersadai di tepi jalan raya dan jika terjadi cuba sejukkan dengan membungkus gegelung dengan kain lembap supaya mampu menghidupkan kembali enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 AM