Penyanyi John Legend berterima kasih kepada individu yang yakin dan percaya pada bakat serta impiannya untuk menjadi penyanyi.

Dia meluahkan rasa terharu itu ketika bercerita mengenai lagu My Imagination yang dimuatkan dalam album Finding Neverland.

Katanya, dia percaya kejayaannya pada saat ini berpunca dari mereka yang sentiasa memberikan sokongan.

“Sepanjang mengukuhkan kerjaya, ada beberapa orang yang tidak jemu terus mendorong agar saya dapat mencapai impian.

“Apabila berhijrah ke New York, saya bertemu Kanye West. Dia menjadikan saya artis di bawah naungan syarikatnya.

“Dia antara individu yang banyak membantu mengembangkan karier saya. Kepercayaan diberikan Kanye memotivasikan diri saya agar terus berusaha,” katanya.

Legend juga mendapat sokongan penuh dari guru-gurunya ketika di sekolah. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Chrissy Teigen yang tidak pernah bosan menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:03 AM