LOKASI seorang kanak-kanak, Noraini Maissarah Musa, 10, dikuatiri lemas ketika mandi bersama adik dan rakannya. FOTO Danial Noordin
LOKASI seorang kanak-kanak, Noraini Maissarah Musa, 10, dikuatiri lemas ketika mandi bersama adik dan rakannya. FOTO Danial Noordin
Oleh Syahid Sokri


Alor Setar: Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kuala Kedah berhampiran Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 6.40 petang ketika mangsa Noraini Maisarah Musa, 10, bersama adiknya Ayu Wan Mira, 9, dan rakannya Nor Alisya Natasya Yahya, 9, mandi manda di kawasan berhampiran sebuah kilang memproses kepah.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba, Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.12 malam sebelum sebuah jentera dan sebuah bot aluminium bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik jentera tiba pada 7.28 malam dimaklumkan terdapat tiga kanak-kanak perempuan terjatuh di sungai berkenaan.

"Dua daripada kanak-kanak berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang awam lalu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan.

"Bagaimanapun, seorang lagi mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan," katanya.

Setakat 10 malam ini, mangsa masih belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 10:28 PM