YEO Boon Hai (lapan dari kiri) bersama anggota DBKK dalam ekspedisi Gunung Kinabalu.
YEO Boon Hai (lapan dari kiri) bersama anggota DBKK dalam ekspedisi Gunung Kinabalu.
USIA dan kesibukan tidak halang anggota DBKK buktikan kecergasan menawan gunung kemegahan Malaysia.
USIA dan kesibukan tidak halang anggota DBKK buktikan kecergasan menawan gunung kemegahan Malaysia.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Kesibukan tugas sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang baru tidak menjadi halangan buat Datuk Yeo Boon Hai untuk mengetuai rombongan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menawan gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu pada 8 Mac lalu.

Yeo turut mencipta sejarah apabila menjadi Datuk Bandar pertama yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada usia 60 tahun.

Katanya, Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095.2 meter itu berjaya ditawan bersama 25 pegawai dan anggota DBKK dengan semangat berpasukan yang jitu selain berpegang kepada slogan ‘Sehati Sejiwa’.

“Objektif pendakian ini untuk mengukuhkan lagi semangat bekerja berpasukan dalam kalangan warga DBKK. Meskipun saya sudah mencapai usia 60 tahun, saya tetap mahu pegawai dan anggota DBKK sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat melalui aktiviti bersukan seperti pendakian Gunung Kinabalu ini,” katanya.

Cuaca yang baik, sejuk dan sedikit berangin mengiringi ekspedisi pendakian yang dimulakan melalui Pintu Timpohon pada 7 Mac lalu bermula jam 9 pagi menuju ke Laban Rata.

Selain itu, rombongan pendakian itu turut berpeluang melihat beberapa kesan pada bentuk fizikal di laluan pendakian ini akibat gempa bumi yang berlaku pada 5 Jun 2015 lalu.

Para pendaki juga melepasi laluan baru yang disediakan oleh Taman-Taman Sabah yang dibina dengan baik menggunakan kayu dan motif tempatan.

Turut disediakan adalah ruang berehat dari pelantar kayu dengan sudut pemandangan pekan Kundasang yang indah dan menyegarkan selain kepelbagaian tumbuhan di persekitaran laluan berkenaan.

Pendaki DBKK tiba di Laban Rata pada jam 4.15 petang untuk berehat dan tidur sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu jam 2.30 pagi keesokan harinya.

Berdasarkan peraturan baru Taman-Taman Sabah, para pendaki tidak dibenarkan mendaki ke puncak jika tidak sampai ke pintu pemeriksaan terakhir selepas jam 5 pagi.

Empat peserta pendakian tidak dapat melepasi had tempoh masa ini dan kumpulan pertama pendakian DBKK tiba di puncak pada jam 6 pagi manakala kumpulan kedua yang diketuai oleh Datuk Bandar berjaya ke puncak Gunung Kinabalu pada jam 7.20 pagi.

Terdahulu, ekspedisi pendakian itu dianjurkan Kelab Rekreasi dan Kebajikan (REKA) DBKK yang turut mewakili beberapa persatuan seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bandaraya Kota Kinabalu Kelab Berbasikal DBKK dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Penguat­kuasaan (KERAP) DBKK.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 11:41 AM