Kuala Lumpur: Honda Malaysia, semalam mengeluarkan kenyataan untuk melakukan pemeriksaan ke atas 46,710 unit kenderaan Honda termasuk 26,186 model City (model keluaran 2008-2009), Civic (2007-2009), CR-V (2007-2008) dan Jazz (2007 & 2009).

Pengeluar kereta dari Jepun itu berkata, unit terbabit terjejas disebabkan inflator atau pengepam beg udara penumpang hadapan manakala 20,524 unit Accord (2003-2007) pula terjejas oleh pengepam beg udara bahagian hadapan pemandu.

“Makluman ini adalah langkah berjaga-jaga dan Honda akan menggantikan pengepam yang baru untuk semua model terjejas,” katanya sambil menambah bahawa model jualan semasa tidak terjejas.

Honda Malaysia akan memaklumkan semua pelanggan yang terjejas menerusi surat pemberitahuan termasuk butiran terkini produk. Pelanggan yang menerima surat dinasihatkan supaya menghantar kenderaan mereka ke wakil penjual Honda terdekat untuk pemeriksaan.

“Penggantian akan dilakukan sebaik sahaja alat berkenaan diterima dan kos penggantian serta buruh akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

“Honda Malaysia menggesa pemilik kenderaan Honda yang terjejas dengan produk pengepam beg udara itu supaya membawa kenderaan masing-masing untuk diperiksa dan menggantikan bahagian yang terjejas secepat mungkin,” katanya.

Pemilik kenderaan juga boleh menyemak status produk kenderaan mereka dengan menghubungi Talian Bebas Tol Honda 1-800-88-2020 atau mengunjungi peniaga Honda yang sah atau melayari www.honda.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:40 AM