PELAYAR Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy, mohon maaf kepada juri acara pelayaran Sukan SEA ke-28 atas kenyataan serius mengenai pengadilan berat sebelah dalam acara semalam.

Dia mendakwa kenyataannya yang disiarkan akhbar tempatan di Malaysia diambil dari luar konteks sebenar berbanding dengan apa dia kata ketika ditemubual dengan media Malaysia di Singapura.

Khairulnizam, yang meraih pingat perak dalam acara Laser Standard, semalam, dilaporkan membuat kenyataan sedemikian selepas pelayar tuan rumah, Colin Cheng Xinru merangkul pingat emas dalam acara itu.

“Saya ingin menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas kepada penganjur, pengerusi dan anggota jawatankuasa juri.

“Kenyataan saya ini tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak,” katanya ketika membaca kenyataan permohonan maaf itu pada sidang media khas, di sini.

Akhbar tersebut memetik Khairulnizam sebagai mendakwa bahawa ‘beliau dan pemenang pingat gangsa, pelayar Thailand (Keerati Bualong) dikenakan mata penalti kerana melakukan pelayaran secara agresif pada perlumbaan kedua walaupun pelayar Singapura itu lebih agresif berbanding mereka’.

Dia juga kesal berhubung perkara itu dan berharap ia tidak akan melemahkan semangat rakan sepasukan dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Pengurus pasukan, Megat Fairus Khairuddin, berkata beliau dimaklumkan mengenai dakwaan itu ketika mesyuarat pengurus pasukan dan berpendapat ia mungkin memberi kesan negatif kepada skuad negara.

Beliau berkata, permohonan maaf itu bukan sahaja untuk semangat sukan itu tetapi untuk pasukan negara dan pelayar dari negara-negara lain.

“Selepas ini, kami akan mengemukakan permohonan maaf ini kepada pengadil,” kata Megat Fairus.

Timbalan Ketua Kontinjen Negara, Dr S Shamala turut berkongsi pandangan sama dan meminta semua atlet negara supaya menerima keputusan pengadil dengan hati terbuka biarpun adalah beberapa keputusan dilihat kurang menyenangkan.

“Kami harap insiden ini akan menjadi pengajaran untuk atlet lain supaya lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 11:04 PM