NUR Aisyah.
NUR Aisyah.
NUR Aisyah mampu dijadikan model golongan muda.
NUR Aisyah mampu dijadikan model golongan muda.
NUR Aisyah mampu dijadikan model golongan muda.
NUR Aisyah mampu dijadikan model golongan muda.
BUKU yang dihasilkan Nur Aisyah.
BUKU yang dihasilkan Nur Aisyah.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Bukan mudah untuk menggalas tugas sebagai doktor tetapi pada masa sama meluangkan masa menulis buku atas matlamat membantu golongan muda mencari arah dalam hidup dan mengelak mereka daripada terjebak masalah sosial.

Namun bagi doktor muda ini, Dr Nur Aisyah Zainordin, 31, kesempitan masa bukan suatu halangan apatah lagi dia mempunyai aspirasi yang mahu digapai melalui penulisannya.

Ditambah pula minat mendalam dalam bidang penulisan sejak bersekolah rendah, Nur Aisyah memperuntukkan sedikit masa untuk berkongsi bakatnya itu ke arah kebaikan demi membimbing remaja supaya mereka tidak tersilap langkah dalam hidup yang penuh dugaan ini.

Memulakan bicara, Nur Aisyah yang tampil ringkas berkata, minatnya ke arah penulisan mula bercambah ketika berusia 12 tahun dan aktif menulis cerpen.

Atas galakan guru Bahasa Malaysia yang mengajarnya, Nur Aisyah sering menulis cerpen dan setiap bulan, cerpen terbaik dipilih dan dibacakan guru.

Semangatnya yang berkobar ditambah minat menulis membuatkan cerpen hasil nukilannya sering terpilih sebagai karya terbaik di sekolah dan dibacakan gurunya di hadapan semua murid lain dalam kelas.

“Setiap bulan, cerpen saya terpilih untuk dibacakan di hadapan kelas sehinggakan ada murid lain yang sudah bosan.

“Lalu cikgu memberi sedikit kelonggaran dan memaklumkan kepada saya mengapa cikgu perlu memberi laluan kepada cerpen pelajar lain untuk dibaca supaya cerpen mereka juga ada peluang dan bersemangat dalam bidang penulisan,” katanya tersenyum ketika mengimbau kenangan zaman persekolahannya.

Nur Aisyah yang belajar dalam aliran agama turut tidak ketinggalan me­nyumbang karyanya untuk diterbitkan di majalah sekolah, selain rajin menghantarnya ke majalah berbentuk ilmiah di pasaran.

Menurutnya, minat mendalam dalam penulisan terus mekar sebaik dia menjejakkan kaki ke alam persekolahan menengah sehingga dilantik sebagai ketua pengarang bagi majalah sekolah dari tingkatan tiga hingga tingkatan lima.

“Sepanjang menulis ketika masih bersekolah, ia secara tidak langsung banyak membantu saya mengembangkan bakat dan mengasah kemahiran menulis.

“Namun pada usia yang masih muda iaitu ketika di tingkatan tiga, saya tiba-tiba berada dalam dilema untuk menentukan kerjaya apabila sudah besar.

“Saya mahu jadi doktor tetapi saya juga suka menulis. Selepas berfikir, saya membuat keputusan menjadi doktor kerana seorang penulis tidak boleh menjadi doktor tetapi seorang doktor boleh menjadi penulis,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa bersikap terbuka dan menyerahkan kepadanya untuk membuat keputusan tetapi apabila dia mahu menjadi doktor, pada awalnya orang tuanya tidak begitu bersetuju dengan pembahagian masanya ke arah penulisan kerana bimbang pelajarannya terganggu.

Apa yang penting bagi mereka, melihat setiap anak cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam hidup.

Namun apabila melihat keputusan yang tetap cemerlang biarpun sempat menjadi penulis, membuatkan ibu bapanya memberi sokongan padu.

Ketika di sekolah menengah juga penulisannya lebih terarah kepada artikel berunsur agama untuk dikongsi bersama pelajar lain.

Dalam mengejar impiannya bergelar doktor, Nur Aisyah melanjutkan pengajian ke University of Dundee, Scotland dan buat pertama kalinya terpisah dengan keluarga serta rakan di Malaysia.

Jauh daripada keluarga dan dikelilingi bangsa asing membuatkannya lebih berhati-hati dalam pergaulan.

Ketika dia belajar di negara Eropah itu, tidak ramai pelajar beragama Islam di situ dan selama enam tahun di sana, dia berserah kepada Allah untuk menjaganya supaya tidak mudah tergelincir daripada landasan agama.

“Ketika itu, saya jauh daripada keluarga dan tidak ramai rakan Melayu di sana. Hanya ditemani pelajar mat saleh. Mereka agak kurang pengetahuan mengenai Islam kerana biarpun saya bertudung, mereka ajak saya keluar bersama untuk minum bir dan saya terpaksa menolak dengan baik dan menerangkan kepada mereka.

“Jika diikutkan, apabila jauh daripada keluarga dan tiada siapa yang memantau, tentu mudah bagi kita untuk tergelincir. Saya sentiasa berdoa dan berserah kepada Allah supaya memelihara saya, malah merapatkan diri dengan keluarga Islam yang ada di sana,” katanya.

Melihat kepada keadaan itu, timbul idea untuk menghasilkan blog apatah lagi waktu itu ramai rakannya juga aktif menulis blog.

Pada awalnya dia kurang berminat menulis di blog tetapi melihat kepada impak penulisan yang boleh dijadikan panduan kepada pelajar lain yang melanjutkan pengajian di luar negara, akhirnya sekitar 2003, lahir blog muharikah.wordpress.com.

Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk berkongsi pengalaman belajar dan memberi nasihat kepada pelajar lain yang mahu menuntut ilmu di luar negara supaya dapat menjaga diri dengan baik dan tidak menggadaikan diri sendiri semata-mata untuk keseronokan seketika.

Pada masa sama, melalui blog, Nur Aisyah yang menggunakan nama pena Muharikah turut berkongsi kepayahannya di luar negara demi mempertahankan jati diri dan kekal dengan nilai Islam yang kukuh.

Sebaik tamat pengajian, dia terus bekerja di dua lokasi iaitu Hospital Royal Alexandra dan Hospital Royal Inverclyde, Glasgow selama dua tahun sebelum pulang ke Malaysia.

Sebaik menjejakkan kaki ke tanah air, Nur Aisyah yang berasal dari Gombak, tidak melepaskan peluang menghasilkan bukunya iaitu Sayonara Jahiliah, Lagenda Budak Usrah dan Muharikah the Comics.

Penulisannya lebih terarah kepada unsur Islam tetapi ditulis secara santai supaya mudah difahami dan boleh diterima golongan sasaran pembaca muda iaitu daripada usia 16 hingga 30 tahun.

Ketika sibuk bekerja, dia masih mempunyai masa untuk menulis dan memperuntukkan tiga jam sehari untuk menyiapkan setiap buku.

Inti pati tulisannya untuk mengajak golongan muda supaya dapat menjaga tatatertib dan agama mereka sepanjang melayari kehidupan dan mengelak diri daripada terjebak gejala sosial.

Ketika ini, dia menyambung pengajian di peringkat Sarjana Perubatan Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sambil bertugas di Hospital Putrajaya.

Bertindak sebagai kolumnis di sebuah majalah keagamaan berunsur santai, Jom, Nur Aisyah juga ketika ini masih menimbang untuk mengkhusus sebagai pakar dalam bidang organ dalaman mengikut minat dirinya.

“Penulisan saya mempunyai matlamat untuk menyedarkan pembaca mengenai tujuan sebenar kita dilahirkan di dunia ini selain menjadikan kerja sebagai ibadat.

“Dengan cara itu, kita tidak keluh-kesah atau tertekan hingga menyebabkan orang di sekeliling juga tertekan dan menjadi lebih tenang,” katanya.

Menjelaskan mengenai karakternya, Nur Aisyah berkata, dia seorang yang berwawasan dan mahu memberi inspirasi kepada orang lain. Dia juga mempunyai matlamat dan akan melakukan apa yang terdaya untuk mencapainya sambil tetap pada pendirian dalam perjalanan mencapai sasaran.

“Sebagai wanita, saya rasa memang sifat wanita suka melakukan banyak kerja dalam satu masa, begitu juga saya,” katanya.

Di masa lapangnya, anak kedua daripada empat beradik itu juga gemar melancong untuk memberi pengalaman baru buat dirinya dan sehingga kini dia sudah menjejakkan kaki ke 15 negara termasuk Turki, Arab Saudi, Sepanyol, Ireland, Poland dan Jerman.

Katanya, melancong bukan sekadar membuka minda tetapi ia secara tidak langsung dapat mendidik kita melihat sesuatu perkara daripada sudut lain.

“Malah, apabila melancong, masalah yang kita hadapi dirasakan begitu kecil dan dapat menyegarkan kembali minda yang kusut.

“Malah, setiap kali melancong, idea datang mencurah-curah dan kebanyakan masa melancong, saya dapat menulis dengan lebih lancar kerana minda lebih terbuka melihat negara orang,” katanya yang turut berkongsi kata-kata semangat di ruang Facebook/Muharikah.

Impian besarnya adalah menjadi doktor yang mampu memberi manfaat kepada pesakit dan menaik taraf perkhidmatan kesihatan negara ke tahap terbaik demi memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 12:42 PM