OSMAN Dol meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Melaka, di sini, kelamrin. FOTO Ihsan Keluarga
OSMAN Dol meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Melaka, di sini, kelamrin. FOTO Ihsan Keluarga
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penulis veteran, Osman Dol atau nama sebenarnya Ahmad Dugol dilaporkan meninggal dunia di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Anak kelimanya, Azyyati Ahmad, 37, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, hari ini.

"Abah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 78 tahun di Hospital Melaka kira-kira 1 tengah hari semalam selepas beberapa hari mendapatkan rawatan akibat diserang strok.

"Jenazah abah selamat dikebumikan jam 11 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam di Durian Tunggal," katanya.

Allahyarham yang juga anak jati Durian Tunggal, Alor Gajah meninggalkan seorang balu dan lapan anak.

Menurut Azyyati kali terakhir dia berhubung dengan ayahnya adalah pada minggu lalu dan arwah sempat berpesan untuk membeli semula buku-buku penulisannya di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

"Abah ada minta saya pergi ke DBP dan membeli buku-bukunya kerana koleksi simpanannya banyak yang sudah hilang serta dimakan anai-anai.

"Insya-Allah saya akan tunaikan permintaan abah itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad yang lahir pada 23 Disember 1944 aktif menulis sejak 1960-an termasuk di Utusan Melayu dan majalah Fashion, Utusan Filem dan Sports.

Beliau menghasilkan hampir 200 cerpen, 18 novel, dua antologi cerpen, skrip teater, serta berpuluh-puluh drama radio, selain rencana agama, sastera dan beberapa sajak.

Antara karyanya yang diterbitkan termasuk Novel Lari Dari Neraka pada 1992, Penentuan (1995), Wira Kampung Tengah (1991), Memburu Keamanan (1996), Naning Berdarah (1992), Delima Cinta (2001) dan Sinar Damai (2004) selain dua antologi cerpen, Mimpi Seorang Hartawan (1991) dan Yang Mana Satu (1993).

Allahyarham juga pernah memenangi pelbagai hadiah sastera termasuk Menulis Skrip Teater 1970, novel Lari Dari Neraka dan cerpen Peristiwa Lama.

Berdasarkan catatan di blognya, http://osmandol.blogspot.com/2012/03/ beliau menyatakan dirinya banyak didorong oleh penulis veteran Hanifah Melaka atau Datuk Ahmad Abdullah ketika mula aktif dalam dunia penulisan.

Dalam pada itu, Ahmad juga pernah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga bersara secara pilihan pada 1998 ketika berusia 53 tahun dengan tugas terakhir sebagai Pegawai Pendakwa selama 12 tahun di Mahkamah Tampin, Gemas dan Rembau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, Osman Dol adalah penulis yang melakar peta sastera tanah air terutama melalui genre cerpen.

"Karya beliau menghidupkan sastera Melayu pada zamannya terutama tahun 70-an, 80-an dan 90-an sebagai dokumentasi dan khazanah sastera yang penting.

"Kita kehilangan pengarang dalam aliran realisme yang penting," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 3:51 PM